RAKAMAN disiarkan berita menunjukkan orang ramai bertempiaran lari ketika tembakan dilepaskan.
RAKAMAN disiarkan berita menunjukkan orang ramai bertempiaran lari ketika tembakan dilepaskan.
Reuters

Texas: Penembak hendap membunuh lima anggota polis dan mencederakan enam yang lain dalam serangan di Dallas ketika ratusan orang berarak membantah pembunuhan dua lelaki Amerika berketurunan Afrika di negara itu.

Kejadian lewat Khamis (waktu tempatan) itu disifatkan polis sebagai dirancang rapi dan tiga orang ditahan selain seorang lagi mati dipercayai selepas membunuh dirinya susulan konfrontasi semalaman yang berlanjutan sehingga pagi semalam.

Suspek keempat yang maut dilaporkan berbalas tembakan dengan polis selepas mengurung dirinya di dalam bengkel kereta selain mengancam kononnya mahu meletupkan bom.

Kejadian itu dianggap serangan paling buruk terhadap polis dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) dan dikecam Presiden Barack Obama yang berada di Poland untuk perjumpaan NATO.

Ketua Polis Dallas David Brown berkata, penembak terbabit ada antaranya berada di atas bumbung bangunan menggunakan senapang penembak hendap untuk menembak polis dalam serangan yang diselaraskan.

“Mereka menyerang dari kedudukan berbeza dengan memfokuskan kawasan akhir dirancang dilalui peserta bantahan sebelum melepaskan tembakan ketika demonstrasi hampir tamat,” katanya.

Datuk Bandar Mike Rawlings menasihatkan orang ramai mengelak keluar ke tempat awam manakala polis semalam masih menutup beberapa laluan dan membuat pemeriksaan lalu lintas.

Laluan trafik udara juga digantung buat sementara manakala helikopter polis memantau keadaan.

Orang ramai berarak membantah pembunuhan dua lelaki Amerika Amerika berketurunan Afrika baru-baru ini termasuk Philando Castile, 32, yang ditembak mati ketika ditahan untuk kesalahan lalu lintas dengan kejadian dirakamkan teman wanitanya dan dikongsikan di Internet.

Sementara itu, suspek yang mati di Dallas dilaporkan memberitahu polis ‘segalanya bakal berakhir’ dan lebih ramai anggota akan dicederakan serta dibunuh.

Suspek turut mendakwa mempunyai beberapa bom dan di sekitar bandar itu yang akan diletupkannya. Pemeriksaan polis di Dallas selepas kejadian bagaimanapun tidak menemui bahan letupan.

Sementara itu, polis menahan tiga orang termasuk seorang wanita untuk membantu siasatan. Motif serangan tidak dapat disahkan, namun kumpulan menggelar dirinya Black Power Political Organization (BPPO) mendakwa bertanggungjawab di Facebooknya selain mengancam melakukan lebih banyak serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 6:25 AM