Low (kiri) dan Ketua Kesihatan dan Kecantikannya, Loh Yen Hon pada pelancaran Walkathon Guardian 2016, semalam.
Low (kiri) dan Ketua Kesihatan dan Kecantikannya, Loh Yen Hon pada pelancaran Walkathon Guardian 2016, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Guardian Health and Beauty Sdn Bhd (Guardian) merancang membuka enam hingga lapan cawangan baharu bagi separuh kedua tahun ini menerusi dorongan permintaan dan strategi peningkatan jenamanya.

Pengarah Pemasarannya, Christina Low berkata, pembukaan cawangan baharu itu berdasarkan kepadatan penduduk di sesuatu kawasan serta keperluan dan produk ditawarkan kepada pelanggannya.

Beliau berkata, pemilihan lokasi tepat adalah perkara utama kerana ia menjadi faktor menarik lebih ramai pelanggan berbelanja di Guardian.

“Ketika ini, kami mempunyai 436 cawangan Guardian di seluruh negara dan pembukaan beberapa cawangan baharu sehingga hujung tahun ini bakal merancakkan perniagaan sedia ada.

“Jumlah cawangan baharu bukan menjadi keutamaan kami kerana dalam melakukan operasi perniagaan dan memberikan perkhidmatan, kepuasan pelanggan adalah tumpuan syarikat,” katanya pada majlis pelancaran Guardian Walkathon, di sini, semalam.

Guardian Walkathon 2016, acara amal tahunan bertujuan menggalakkan aktiviti berjalan kaki sebagai sebahagian gaya hidup sihat dijangka menarik 3,000 penyertaan orang ramai.

Acara berkenaan yang bakal berlangsung pada Hari Malaysia 16 September ini di Taman Wetland, Putrajaya bertujuan mengutip dan mengumpul dana bagi 15 rumah anak yatim di seluruh negara.

Christina berkata, sebagai peruncit terkemuka dalam sektor farmasi, kesihatan dan kecantikan, Guardian sentiasa bertanggungjawab mengumpul dana untuk disumbangkan kepada masyarakat.

Tiket bagi menyertai Guardian Walkathon boleh didapati mulai semalam hingga 28 Ogos ini pada harga isitmewa iaitu RM25 bagi peserta dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak manakala penyertaan berkumpulan empat orang boleh didapati pada harga istimewa RM60.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 8:37 AM