WONG
WONG
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Courts Malaysia, peruncit terkemuka barangan elektrik, teknologi maklumat (IT) dan perabot bakal memperkenalkan platform e-dagang pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Courts Malaysia, Dominic Wong berkata, platform yang akan dikenali sebagai e-Courts itu adalah sebahagian daripada perjalanan digital syarikat itu.

Beliau berkata, selepas ia dilancarkan, orang ramai boleh menikmati pengalaman beli-belah yang berbeza serta menarik yang menawarkan semua produk.

“Kami berusaha untuk memperkukuhkan perjalanan transformasi serta digital Courts Malaysia yang akan mengukuhkan kehadiran jenama yang sudah bertapak lebih 32 tahun.

“Sebelum e-Courts diperkenalkan akhir tahun ini, kami kini menembusi segmen e-dagang melalui penyertaan di platform sedia ada di pasaran seperti Lazada dan Shopee.

“Apabila platform milik kami sendiri mula diaktifkan, kami yakin ia akan melengkapkan ekosistem serta perjalanan digital untuk Courts Malaysia,” katanya.

Wong berkata, berdasarkan data diterima pihaknya, 80 peratus pembeli daripada platform e-dagang adalah pelanggan baharu kepada Courts.

Menurutnya, daripada jumlah pelanggan baharu itu, kebanyakkannya adalah golongan milenial yang selesa untuk membeli melalui platform itu.

“Biasanya pelanggan tempahan e-dagang membeli barang yang lebih kecil dan mudah digunakan apabila diterima.

“Bagaimanapun, kewujudan gedung fizikal masih dianggap menjadi keutamaan khususnya untuk membeli barang bersaiz besar yang memerlukan penelitian dan khidmat nasihat seperti mesin basuh dan peti sejuk,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan lanjutnya sehingga Mac tahun depan, Wong berkata, Courts Malaysia akan membuka tiga cawangan baharu. Ketika ini jenama itu mempunyai 55 cawangan di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya melihat tiada keperluan membuka lebih banyak cawangan baharu, sebaliknya akan menaik taraf gedung sedia ada seperti dirancang dalam pelan transformasi.

“Buat masa ini hanya 30 peratus daripada 55 cawangan ini akan dinaik taraf terlebih dahulu dan secara beperingkat, semua gedung seluruh negara akan menerima perubahan baharu seiring dengan keadaan semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:10 AM