KANAK-kanak dari tiga rumah kebajikan menerima sumbangan Guardian, semalam.
KANAK-kanak dari tiga rumah kebajikan menerima sumbangan Guardian, semalam.

Kuala Lumpur: Rangkaian kedai farmasi, kesihatan dan kecantikan, Guardian Malaysia (Guardian) memperuntukkan RM20 juta untuk penjenamaan semula dan pembukaan cawangan baru tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter J Dove berkata, penjenamaan semula itu membabitkan penambahbaikan logo korporat, warna dan reka letak ruang dalaman kedai bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang menarik kepada pelanggan.

“Proses penjenamaan semula ini dimulakan secara berperingkat dan akan diteruskan untuk cawangan sedia ada pada tahun depan.

“Ia merangkumi perubahan pada logo serta warna korporat Guardian, selain perubahan pada reka letak rak pameran barangan bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan,” katanya selepas penyerahan sumbangan kepada tiga rumah kebajikan di sini, semalam.

Menurutnya, 80 peratus pelanggan Guardian adalah wanita dan pihaknya mengambil inisiatif membuat susun atur produk berkaitan wanita pada ruang hadapan.

“Antara produk yang akan ditonjolkan adalah kosmetik, penjagaan diri dan barangan bayi kerana ia sinonim dengan keperluan wanita,” katanya.

Dove berkata, pihaknya merancang membuka 15 cawangan baru tahun depan menggunakan sebahagian daripada RM20 juta yang diperuntukkan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan cawangan Guardian 449 buah.

Menurutnya pihaknya menjangka prestasi jualan pada 2016 akan bertambah baik berbanding tahun ini berikutan pelanggan mula menyesuaikan diri dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 6:22 AM