SAIFUDDIN (tiga dari kanan) pada majlis pembukaan pasar raya besar Lulu Hypermarkets di 1 Shamelin, Cheras.
SAIFUDDIN (tiga dari kanan) pada majlis pembukaan pasar raya besar Lulu Hypermarkets di 1 Shamelin, Cheras.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Lulu Group, pengendali runcit terbesar di Asia Barat dan Afrika Utara mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dengan pembukaan cawangan kedua pasar raya besar Lulu Hypermarkets di pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Pasar raya besar seluas 80,000 kaki persegi yang baru dibuka itu turut menandakan pembukaan cawangannya yang ke-174 secara global dan ia terletak secara strategik di pusat beli-belah 1 Shamelin di Cheras.

Pengerusi Kumpulan Lulu, Yusuff Ali MA berkata, sejajar dengan pembukaan cawangan baharu ini, pihaknya sentiasa yakin dengan pelan pengembangan perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk melancarkan empat lagi pasar raya besar baharu di lokasi berbeza di Malaysia sebelum penghujung tahun depan.

Katanya, antaranya pasar raya besar di Setia City Mall, Bangi Gateway, Bachang di Melaka dan juga Johor Bahru.

“Kami turut meneroka pasaran lain di Malaysia dan menjangkakan dapat mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan bagi sektor tenaga kerja di negara ini.

“Lulu Malaysia ketika ini mempunyai lebih 300 pekerja melalui dua pasar raya besar yang beroperasi pada masa ini,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Pembukaan pasar raya besar baharu itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan ia turut dihadiri oleh Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, India dan Algeria.

Yusuff Ali berkata, Lulu Hypermarkets turut menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bersama-sama berkembang dengan menyediakan ruang jualan di pasar raya besar itu.

Menurutnya, usaha itu mampu menjadi platform terbaik bagi syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan mengeksport produk mereka ke negara Teluk yang lain.

Ketika ini, lebih 100 PKS tempatan berdaftar dengan Lulu Malaysia.

Katanya, pada 2018, Lulu Malaysia mengeksport produk Malaysia seperti buah, sayur, kasut, produk PKS, makanan dan perabot bernilai AS$10 juta ke pasar raya besarnya di seluruh dunia dan menyasarkan untuk meningkatkannya kepada AS$15 juta pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 8:48 AM