ANTARA anak yatim yang diraikan dalam Program MSU Ihya Ramadan 2023. FOTO Ihsan MSU.
ANTARA anak yatim yang diraikan dalam Program MSU Ihya Ramadan 2023. FOTO Ihsan MSU.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Management and Science University (MSU) meraikan 200 anak yatim daripada 20 rumah kebajikan di Lembah Klang menerusi Program MSU Ihya Ramadan 2023.

Majlis berbuka puasa itu diadakan di Dewan Canselor MSU, Shah Alam bertujuan menyantuni dan berkongsi rezeki bersama kelompok komuniti yang tidak bernasib baik.

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid turut menyampaikan sumbangan wang zakat dan duit raya daripada Yayasan MSU berjumlah RM80,000 kepada rumah kebajikan dan anak yatim berkenaan.

Antara rumah kebajikan terbabit ialah Teratak Nur Barakah, Madrasah Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah, Rumah Amal Limpahan Kasih, Rumah Kasih Harmoni, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Al-Nasuha dan Persatuan Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah.

Hubungan antara MSU dan rumah kebajikan terjalin sejak 2010 dan berkekalan sehingga kini.

Majlis penyerahan zakat dan duit raya itu adalah acara tradisi MSU dan mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam memenuhi tanggungjawab terhadap komuniti serta menyuburkan budaya bersyukur dan memberi dalam kalangan warga kampus dan masyarakat amnya.

Turut hadir Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid, Naib Presiden Kanan Endowmen dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof, pengurusan kanan universiti serta wakil rumah kebajikan dan anak yatim.

Program MSU Ihya Ramadhan 2023 turut menyaksikan pelaksanaan pelbagai aktiviti membabitkan warga kampus dan komuniti setempat.

Antaranya ialah majlis sumbangan zakat kepada pelajar MSU dan Kolej MSU serta pelajar sekolah menengah terpilih di Lembah Klang, MSU Cares B40 Project, GPS Ramadan, Alumni: Box of Happiness, MSU Quranic League, Sinar Ramadan 6.0, Ramadan Booster 2.0, For You Series: Veggie Burgers, Bubur Lambuk 5.0, Amal Ramadan 2.0, Muafakat Ramadan dan Kembara Sahur 3.0.

Turut sama menjalankan aktiviti bersempena MSU Ihya Ramadan 2023 ialah kampus pesisir antarabangsa MSU, International Medical School di Bangalore melalui GPS Ramadan: Bangalore Chapter serta Ramadan@Jakarta Global University (JGU).

Bagi Bazar Ramadan pula memberikan peluang kepada vendor yang terdiri dari kumpulan asnaf B40, ibu tunggal, mualaf, serta Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menjual pelbagai juadah berbuka puasa kepada warga kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 5:03 PM