Sandwic ayam berserta sayur dan kopi atau teh dengan harga RM1 mendapat sambutan menggalakkan - Foto Bernama
Sandwic ayam berserta sayur dan kopi atau teh dengan harga RM1 mendapat sambutan menggalakkan - Foto Bernama
Jaafar Pame, 28, (kiri) dan rakannya, Muhammad Abdullah, 30, melayan pelanggan di tepi jalan berhampiran Taman Fajar yang membeli menu sarapan dengan harga hanya RM1. - Foto Bernama
Jaafar Pame, 28, (kiri) dan rakannya, Muhammad Abdullah, 30, melayan pelanggan di tepi jalan berhampiran Taman Fajar yang membeli menu sarapan dengan harga hanya RM1. - Foto Bernama
BERNAMA

Sandakan: Ingin membantu mereka berpendapatan rendah mendapatkan sarapan dengan harga murah, Jaafar Pame dan rakannya Muhammad Abdullah menjual sandwic ayam serta sayur berserta kopi atau teh dengan harga hanya RM1.

Lokasi perniagaan mereka di tepi jalan berhampiran Taman Fajar di Jalan Airport, laluan utama yang dilalui banyak kenderaan setiap pagi.

Mereka turut menjual penkek, sup cendawan dan minuman panas lain yang dijual berasingan dengan harga RM1 satu.

Biarpun dijual dengan harga murah, mereka mampu memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Jaafar, 28, berkata mereka memulakan perniagaan pada Oktober lau, dan sambutan sangat menggalakkan sehinggakan ada yang menjadi pelanggan tetap.

“Kami menggunakan modal RM100 dan setiap hari menyediakan 100 set menu sarapan dengan pulangan pendapatan sebulan sekitar RM1,000," katanya di sini, hari ini.

Pendekatan mereka mudah iaitu menggunakan poster dan kain rentang memaparkan menu sarapan berharga RM1 bagi menarik perhatian pengguna jalan raya.

Jaafar berkata setiap Isnin hingga Sabtu, mereka berniaga bermula 6 hingga 8 pagi iaitu pada waktu puncak serta turut menyediakan perkhidmatan penghantaran di sekitar kawasan Batu 7 Jalan Airport bagi sup cendawan dan minuman panas dengan caj serendah RM1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 8:21 PM