AKSI pelumba wanita.
AKSI pelumba wanita.
AKSI peserta ketika meredah laluan offroad.
AKSI peserta ketika meredah laluan offroad.
GELAGAT peserta ketika berehat sebelum meneruskan kayuhan.
GELAGAT peserta ketika berehat sebelum meneruskan kayuhan.
Oleh Nur Syazwana Mansor


Seramai 260 peserta membabitkan ahli kelab berbasikal dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang membanjiri pekarangan Medan Selera Perwaja di Gurun, Kedah seawal jam 7 pagi untuk menyertai Program Kayuhan Ukhwah (PKU), baru-baru ini.

Program anjuran Kelab Rider Utara (KRU) Edisi Jerai dengan kerjasama Steel Rider Club, BOI Rider Club (NAZA Cycling Club) dan Gerek Hutan Jerai, bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara ahli kelab berbasikal di utara.

Pada masa sama, program julung kali diadakan itu turut memberi peluang kepada peserta beraksi di trek sepanjang 35 kilometer meliputi tiga estet iaitu Estet Havard, Estet Sungai Puntar dan Estet Kongsi Enam di Bedong, Sungai Petani yang membabitkan jalan tanah merah dikelilingi pokok kelapa sawit.

Pengerusi KRU, Anuar Ismail, 42, berkata, idea mengadakan program berkenaan diperoleh secara spontan pada awal tahun ini. Selepas melalui beberapa sesi perbincangan dengan beberapa lagi kelab lain, akhirnya mereka sepakat untuk menganjurkan PKU.

Menurutnya, program berkenaan dibuat secara santai tanpa mengambil kira siapa pemenang bagi membolehkan peserta ‘menikmati’ acara kayuhan, sekali gus dapat berkenalan dan merapatkan ukhuwah sesama rakan daripada kelab lain.

Sebanyak 25 kelab basikal dari utara menyertai program itu, antaranya Kelab GP9, Kelab SP City, GTV Balik Pulau, Hospital SP MTB Cycling.

“Selain melalui tiga estet berkenaan, peserta perlu menempuh tiga gugusan bukit iaitu Bukit Permaipura, Bukit Cikgu Din dan Bukit Nyamuk yang boleh dikategori sebagai laluan sederhana tetapi mencabar dengan kecuraman setinggi kira-kira 45 darjah.

“Uniknya program ini, sebahagian peserta turut memainkan peranan secara teknikal bagi memastikan kayuhan berjalan lancar. Latar belakang ahli kelab yang pelbagai, termasuk kelab hospital yang sememangnya maklum perihal perubatan, melicinkan lagi program.

“Mereka sentiasa bersedia memberi pertolongan jika ada peserta mengalami kecederaan,” katanya.

Menurut Anuar, daripada aspek penajaan, pihaknya mendapat sokongan Steel Riders Club, BOI Rider Club dan Gerek Hutan Jerai yang bukan saja menyediakan lokasi pelepasan, malah membuat dan menguji trek kayuhan.

Katanya, kerjasama dan komitmen tinggi ditunjukkan setiap ahli kelab adalah kunci utama yang mendorong kepada kejayaan kayuhan itu, sekali gus matlamat objektif penganjur untuk merapatkan lagi ukhuwah dalam kalangan ahli kelab basikal tercapai.

Bagi memeriahkan lagi program, penganjur turut mengadakan sesi cabutan bertuah dengan menawarkan hadiah berbentuk hamper hasil sumbangan peserta dan Majalah Cycling Malaysia.

“Yuran dikenakan untuk setiap peserta juga sangat murah iaitu RM10 seorang bagi menyediakan makanan dan minuman. Boleh dikatakan peserta tidak pulang dengan tangan kosong kerana cenderahati berbentuk pingat turut diberi,” katanya.

Peserta dari Kelab SYM Uethara Cyclist, Rooslan Yahaya, 40, berpuas hati dengan penganjuran program kayuhan seperti itu kerana dapat meluangkan masa hujung minggu dengan aktiviti digemari selain berkumpul dengan rakan lain.

Rooslan yang bertugas sebagai pengurus jualan di sebuah bank berkata, program hujung ming­gu sebegitu memberi peluang kepadanya dan rakan lain untuk berkumpul selepas sibuk bekerja pada hari biasa.

“Sebelum ini kami hanya berbual dan berhubung di alam maya tetapi dengan adanya program sebegini, kami dapat bertemu dan berbual secara bersemuka dengan ahli kelab basikal lain, sekali gus merapatkan lagi hubungan sesama kami,” katanya.

Kata Rooslan, dia juga berpuas hati dengan trek yang selesa namun pada masa sama menguji ketahanan fizikal peserta.

“Cabaran paling sukar buat saya adalah ketika menuruni bukit berbatu dan mempunyai kecuraman tinggi kerana ia memerlukan teknik betul bagi mengelak tergelincir. Saya berpuas hati kerana berjaya menamatkan kayuhan tanpa kecederaan,” katanya.

Peserta Kelab Gerek Off Road Kedah, Romzi Mat Desa, 45, pula berkata, walaupun bukan pertandingan, semua peserta memberi komitmen dan saingan sengit untuk menyudahkan kayuhan sehing­ga ke garisan penamat.

“Trek kayuhan sememangnya mencabar dengan keadaan bentuk muka bumi yang berbukit, namun semua peserta dapat melepasi cabaran itu dengan baik dan berjaya sampai ke garisan penamat dengan selamat,” katanya.

Peserta dari Kelab Pokok Sena MTB Team, Mohamad Sallehudin Abd Rahman, 34, berkata, meskipun basikalnya terbabas sewaktu meredah kawasan laluan air, dia bersyukur kerana tidak cedera parah selain menyudahkan kayuhan sehingga ke garisan penamat.

Menurutnya, keadaan tanah tidak rata kesan daripada bekas laluan air hujan membuatkan dia hilang fokus seketika sebelum terbabas, tetapi masih mampu meneruskan kayuhan.

Katanya, dia mula menceburi aktiviti itu sejak 2008 dan sepanjang tempoh itu bukan saja dapat melakukan aktiviti sihat, malah mampu menambah ramai kenalan daripada pelbagai latar belakang.

“Sebagai peserta, saya menyokong program sebegini kerana ia bukan saja bermanfaat daripada aspek kesihatan dan kecerdasan, malah memberi peluang untuk kami mengenali rakan lain dengan lebih rapat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 1:21 PM