SEORANG wanita meratap kematian keluarganya.
SEORANG wanita meratap kematian keluarganya.
PENDUDUK mencari barangan yang masih boleh digunakan di dalam runtuhan rumah mereka.
PENDUDUK mencari barangan yang masih boleh digunakan di dalam runtuhan rumah mereka.
AP

Yancheng (China): Pasukan penyelamat semalam berusaha mencari mangsa puting beliung dan hujan batu dengan angka kematian semalam meningkat kepada hampir 100 orang selepas melanda ladang dan kilang di timur negara itu.

Ribut yang melanda kawasan padat berpenduduk berhampiran Yancheng petang kelmarin itu yang paling ekstrem disaksikan rakyat China dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, yang menyebabkan bangunan musnah, pokok tumbang dan kenderaan terbalik.

Jumlah kematian meningkat kepada 98 semalam dengan doktor berkata, kebanyakan 800 mangsa yang cedera mengalami patah tulang dan luka teruk, terutama di kepala. Kakitangan perubatan bergegas ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 800 kilometer di selatan Beijing.

Anggota penyelamat membawa penduduk kampung yang cedera ke dalam ambulans dan menghantar makanan serta air, sementara unit tentera bertugas membersihkan jalan yang dihalang oleh pokok serta tiang elektrik tumbang dan serpihan lain.

Walaupun cuaca semalam elok, peramal cuaca memberi amaran mengenai kemungkinan hujan lebat, hujan batu dan puting beliung susulan.

Penduduk, Wang Shuqing berkata: “Orang ramai cuba berlari keluar, tetapi angin terlalu kuat. Ahli keluarga saya yang berada di luar semuanya terkorban.”

Sementara itu, Presiden Xi Jinping yang dalam lawatan ke Uzbekistan kelmarin mengisytiharkan bencana itu sebagai darurat dan memerintahkan kerajaan pusat menyediakan segala bantuan diperlukan.

Khemah dan bekalan kecemasan dihantar dari Beijing, sementara sekolah dan kemudahan lain digunakan untuk melindungi penduduk yang terselamat.

Rakaman telefon bimbit dan kamera keselamatan menunjukkan putaran puting beliung serta hujan batu bersaiz bola golf turun seperti hujan.

Penduduk yang ketakutan cuba menahan pintu yang kemudiannya ditolak ‘angin hitam’ menyebabkan tingkap kaca pecah.

Laporan mengatakan, puting beliung itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang dan melanda daerah Funing serta Sheyang dengan kelajuan angin sehingga 125 kilometer sejam.

Perkhidmatan bomba dan penyelamat wilayah Jiangsu berkata, kakitangan mereka dihantar untuk memindahkan pekerja dan menyelamatkan bahan-bahan berbahaya dari sebuah kilang panel solar di Yancheng, yang musnah sepenuhnya.

Saluran air utama yang bersambung ke kilang berkenaan sudah ditutup dan tiada kebocoran kimia dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 6:01 AM