SEBUAH kereta tersadai pada dinding sebuah rumah di Ciudad Acuna, utara Mexico, selepas puting beliung membadai kawasan itu, semalam.
SEBUAH kereta tersadai pada dinding sebuah rumah di Ciudad Acuna, utara Mexico, selepas puting beliung membadai kawasan itu, semalam.

Mexico City: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan ratusan rumah musnah apabila puting beliung membadai bandar di utara Mexico, semalam.

Bencana yang berlaku di bandar bersempadan dengan Texas, Amerika Syarikat itu turut menyaksikan kereta dan lori ‘terbang’ ke udara sebelum terhempas di atas rumah dan bangunan.

Gambar selepas kejadian itu menunjukkan beberapa kenderaan remuk tersadai pada tembok dan bumbung bangunan.

Kejadian berlaku ketika cuaca buruk melanda sebahagian besar Mexico dan selatan Amerika Syarikat.

Di Mexico, penyelaras agensi perlindungan awam Luis Felipe Puente berkata, lebih 1,000 rumah rosak akibat bencana itu.

“Walaupun puting beliung itu yang membawa angin kencang selaju 270 hingga 300 kilometer sejam membadai dalam masa enam saat saja, kemusnahan yang berlaku amat besar,” kata Puente.

Pihak berkuasa tempatan berkata, tiga kanak-kanak antara 13 yang terkorban dalam bencana itu sementara hampir 230 orang cedera akibat terkena objek yang diterbangkan angin kencang.

Puting beliung itu membadai ketika hujan lebat melanda bandar berkenaan. Beberapa kawasan turut dilanda hujan batu.

Di Texas, Amerika Syarikat, Gabenor Greg Abbot mengisytiharkan darurat di 24 daerah yang dilanda cuaca buruk.

Pihak berkuasa bandar San Marcos mengarahkan penduduk daerah itu berpindah selepas paras banjir meningkat berikutan hujan lebat hingga menenggelamkan lebih 400 rumah dan menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang hilang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 7:31 AM