MUHAMMAD Rezal (tengah) memeriksa diesel dalam satu daripada tiga kapal tangki yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan diesel di Jeti APMM Kemaman, Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham.
MUHAMMAD Rezal (tengah) memeriksa diesel dalam satu daripada tiga kapal tangki yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan diesel di Jeti APMM Kemaman, Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham 

 

TIGA kapal tangki serta sebuah bot nelayan asing ditahan dalam empat tangkapan berasingan dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kemaman, Isnin dan Selasa lalu. 

Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Komanden Maritim Muhammad Rezal Kamal Bashah berkata, tiga kapal tangki terbabit dipercayai terbabit dalam sindiket penjualan diesel di tengah laut.

Beliau berkata, dalam tangkapan pertama, kapal tangki terbabit ditahan pada kedudukan 167.1 batu nautika dari Kuala Kemaman pada 11.40 pagi. 

“Kami kemudian menahan kapal kedua pada kedudukan 166.6, batu nautika pada 12.10 tengah hari dan kapal ketiga pada kedudukan 151.9 batu nautika pada 1.10 tengah hari.

“Ketiga-tiga kapal terbabit dipercayai dari Thailand dan semua kru kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Kemaman di Chukai, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya percaya ketiga-tiga kapal terbabit terbabit dalam sindiket penjualan diesel di tengah laut.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua kapal itu memiliki 150,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM300,000.

“Kami turut menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) pada 6.30 petang 28 Ogos.

“Hasil pemeriksaan, semua awak-awak tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta permit menangkap ikan dari Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya.

“Ketika semua tangkapan dibuat, kami sedang melaksanakan Ops Perkasa Timur, Ops Iman dan Ops  Marikh di kawasan perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

“Operasi berkenaan dibuat sebagai usaha mencegah pencerobohan bot nelayan asing yang semakin berani menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan,” katanya.

Beliau sekata, semua kapal tangki dan bot nelayan asing serta 25 awak-awak dan tekong berusia antara 20 hingga 54 tahun ditahan dan ditunda masuk ke Jeti APMM Kemaman, lewat petang semalam.

Katanya, mereka akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/1963, Akta Kawalan Bekalan serta Akta Perkapalan Saudagar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 12:09 AM