GUERRA cetus polemik apabila luahkan hasrat tinggalkan PKNS.
GUERRA cetus polemik apabila luahkan hasrat tinggalkan PKNS.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) berharap isu membabitkan pemain Selangor, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (gambar) dan penyerang import PKNS, Gabriel Guerra dipandang serius pentadbir liga tempatan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dengan mengkaji semula tatacara pasukan yang berminat untuk mendapatkan pemain.

Presiden PJBM B Sathianathan berkata, berdasarkan kemelut yang dihadapi oleh skuad Red Giants dan Semut Merah itu, jelas kedua-dua pemain bertindak secara bersendirian dalam cubaan menebus kontrak sekali gus berpeluang untuk menyertai pasukan lain sekiranya dilepaskan.

Baginya, cara itu seperti ‘mencuri’ pemain menggunakan pintu belakang walaupun FIFA ada menggariskan peraturan yang mana pemain boleh pergi ke mana-mana sahaja yang mereka mahu selagi menebus kontrak mereka.

“Apa yang saya tahu, jika mana-mana pasukan mahu mendapatkan pemain dari pasukan lain, mereka harus melakukan perbincangan antara persatuan dengan persatuan dan bukannya pemain melakukan sendiri.

“Kalau pemain itu masih ada kontrak, pasukan berkenaan perlu menghormati kontrak pemain itu dengan pasukannya yang sekarang tapi kalau nak juga gunalah tatacara betul.

“Buat perbincangan secara rasmi membabitkan pegawai dari kedua-dua pasukan dan sekiranya ada bayaran pampasan kontrak yang ditetapkan, mereka haruslah membayarnya.

“Malah itulah cara yang diguna pakai semua pasukan di Eropah kerana mahu mengelak pemain daripada diambil sesuka hati terutama buat pasukan yang kaya dan banyak duit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, isu Azrif dan Guerra mencetuskan polemik apabila meluahkan hasrat untuk meninggalkan pasukan mereka pada jendela perpindahan kedua yang mula dibuka hari ini hingga 15 Julai depan.

Bagaimanapun, hasrat pemain Selangor dan PKNS itu tidak mendapat restu majikan masing-masing dengan kelab yang cuba memancing mereka iaitu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) perlu bersabar menunggu hingga hujung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 8:39 AM