Sudirman Mohd Tahir


Pelakon Fahrin Ahmad, 37, mengakui lega apabila isterinya, Elena Hani yang menamatkan perkhidmatan sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan antarabangsa pada 1 Februari lalu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai suri rumah tangga.

Meskipun pada mulanya dia bimbang, isterinya yang kini hamil enam bulan tidak menunjukkan tanda bosan atau kekok.

“Selepas kami berkahwin tahun lalu, dia jarang ada di rumah kerana perlu kembali bertugas. Hanya beberapa kali saja kami berjumpa. Apabila disahkan hamil, dia mengambil keputusan untuk berhenti.

“Ketika itu tertanya-tanya juga bolehkan dia menyesuaikan diri kerana sudah biasa bekerja. ternyata apa yang saya fikir itu meleset kerana dia nampaknya selesa dan seronok dapat berehat. Setakat ini belum nampak tanda-tanda dia bosan,” katanya.

Fahrin turut memaklumkan tidak menghalang sekiranya suri hidupnya itu mahu bekerja selepaskan melahirkan anak mereka.

Malah, Fahrin memberi kebebasan kepada isterinya memilih bidang pekerjaan yang ingin diterokai.

“Dia pernah cakap tak mahu jadi pramugari lagi. Pada usia sekarang sudah tidak sesuai untuknya bertugas di awan biru sebaliknya lebih suka bekerja dari rumah seperti menjalankan perniagaan online.

“Saya tidak menghalang. Apa yang dirasakan terbaik untuk dirinya, sebagai suami saya sentiasa menyokong,” katanya.

Ditanya keberangkalian isterinya akan menjadi pembantu peribadi atau pengurusnya selepas ini, Fahrin pantas menggeleng kepala.

“Saya tak rasa dia berminat jadi pengurus saya. Cuma, sejak kami berkahwin dia lebih memahami cara dan jadual kerja saya. Malah, saya juga sentiasa berbincang dan meminta pendapatnya jika ada tawaran berlakon,” katanya.

Fahrin yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi mengakui semakin teruja menyambut kelahiran anak sulungnya.

“Isteri saya dijangka bersalin awal Oktober. Sebagai suami keterujaan itu tidak boleh disorok lagi. Setiap kali melihat anak dalam kandungan bergerak, saya bertambah seronok.

“Insya-Allah, kami akan menimang cahaya mata lelaki. Soal kelengkapan anak, kami belum beli. Bukan apa, masih terlalu awal untuk buat persiapan.

“Namun, ramai menasihati kami buat persiapan daripada sekarang,” katanya.

Isteri semakin faham

Selepas setahun berkahwin, Fahrin mengakui isterinya semakin memahami kerjayanya sebagai pelakon.

Fahrin berkata, tidak timbul istilah isterinya mengongkong kerjaya seninya atau menghalang dia berlakon dengan mana-mana pelakon wanita.

“Saya bersyukur dapat berkahwin dengannya. Walaupun dia tidak terdedah dengan dunia hiburan tempatan sebelum ini, dia boleh menerima dan memahami kerjaya saya. Kebijaksanaan dan kematangan isteri menjadikannya seorang yang berfikiran terbuka.

“Pada masa sama, saya sentiasa mengemas kini jadual kerja saya bersamanya. Setiap apa yang ingin dilakukan saya akan berkongsi dengannya. Pendek kata, dia tahu rutin harian saya,” katanya.

Berkongsi sambutan Ramadan kali ini, Fahrin teruja apabila dapat berpuasa di samping isteri tercinta.

“Setiap tahun saya melalui pengalaman baru. Jika tahun lalu isteri berpuasa di Dubai, kali ini dia sudah kembali. Memang seronok sebab dapat bersahur dan berbuka bersama.

“Alhamdulillah, meskipun hamil isteri bersemangat untuk berpuasa. Cuma saya menasihatinya jika tidak berkeupayaan jangan paksa diri,” katanya.

Fahrin dan isteri akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur memandangkan keluarga kedua-dua pihak juga beraya di sini.

Bagaimanapun, Fahrin yang berasal dari Johor Bahru tetap akan pulang ke kampung halaman bagi menziarahi sanak-saudara di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:08 AM