Oleh Norhayati Nordin


Jika sebelum ini aktor kacak, Fahrin Ahmad,36, cukup kebal menepis kisah jodohnya selama bertahun-tahun, namun semua teka-teki itu akhirnya terjawab.

Tanggal 9 Mei lalu, Fahrin selamat bernikah dengan wanita pilihan yang juga ketua pramugari Emirates Airlines, Elena Hani Eleas, 37. Mereka kenal sejak zaman universiti lagi.

Sehari selepas majlis pernikahan, Fahrin dan isteri terus terbang ke Venice dan Monte Carlo untuk berbulan madu sehingga 16 Mei lalu.

Kini Fahrin sendirian apabila isterinya kembali bertugas. Tentunya kenangan indah bersama isteri sepanjang percutian itu menjadi peneman kesepiannya kini.

Berkongsi kisahnya lebih sebulan menjalani kehidupan berumah tangga, pelakon filem Pilot Cafe itu berkata, kini akur dengan kehidupan mereka yang perlu berjauhan demi tugas.

“Isteri saya sekarang berada di London dan jadual kerjanya agak sibuk. Jadi, perjalanan kehidupan rumah tangga kami buat masa sekarang masih saling berjauhan.

“Namun, kami masih berhubung secara Skype untuk melepas rindu. Tak dinafikan sejak sudah berstatus suami, memang ada perbezaan yang berlaku dalam kehidupan.

“Kalau dulu hidup bujang semua keputusan dibuat sendiri, tetapi sekarang, apa saja perkara terutama membabitkan keperluan dan dekorasi rumah mesti berbincang dengan isteri.

“Sebagai suami, saya perlu mendapatkan pandangannya kerana ia membabitkan kehidupan bersama. Jadi, semestinya kami menginginkan yang terbaik,” katanya.

Sejak menjadi ketua keluarga, menurut Fahrin cara pemikirannya terhadap sesuatu perkara berbeza dan pendapat Elena sentiasa diutamakan.

Mengenai kesunyian berjauhan dengan isteri, Fahrin berkata sebagai pasangan berkahwin ia pasti akan dirasai apabila salah seorang tiada di sini.

“Saya akui memang terasa juga apabila Elena tiada, tetapi buat masa ini kami perlu menuruskan kehidupan suami isteri jarak jauh yang tidak selalu berjumpa.

“Apatah lagi berjauhan sebegini adalah perkara biasa untuk kami kerana Elena pun menetap di Dubai. Sudah lapan tahun dia (Elena) menetap di sana kerana tugas.

“Bagaimanapun, kami saling memahami terutama membabitkan tanggungjawab di antara satu sama lain dalam rumah tangga," katanya mengakui sentiasa teringatkan isteri tersayang.

Mengenai perancangan keluarga, Fahrin berkata dia dan isteri memang menginginkan cahaya mata. Namun, kini Elena masih lagi terikat dengan kerjaya.

“Perancangan untuk menambah ahli keluarga memang ada, tetapi kena tunggulah kami duduk bersama dulu. Buat masa sekarang, kami sudah bersetuju dengan kehidupan sebegini.

“Apapun, ada hikmahnya kami berjauhan seperti ini kerana dapat lebih serasi di antara satu sama lain,” katanya yang tetap sibuk menjadi pengacara majlis.

Berkongsi perasaan menyambut Ramadan buat kali pertama bersama isteri, anak jati Johor ini berkata dia sangat teruja kerana doa sudah dimakbulkan Tuhan.

"Saya sangat bersyukur kerana tahun ini tidak lagi menjalani ibadah puasa seorang diri. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memang jauh di sudut hati saya terasa bersendiri setiap kali berbuka.

“Bagaimanapun, pada masa sama (ketika berbuka) saya memang berdoa semoga bertemu jodoh segera dan tak lagi berterusan bersahur dan berbuka seorang diri,” katanya.

Kata Fahrin, antara waktu yang terbaik untuk berdoa adalah ketika berbuka, selain doa berbuka, masa sama dia turut berdoa mendapat jodoh.

Berpeluang menyambut Ramadan di samping isteri tercinta, Fahrin berkata Elena mendapat cuti pada awal puasa dan akan balik ke Malaysia.

Mengenai juadah berbuka yang akan dimasak isterinya, Fahrin berkata dia tidak cerewet, apa saja yang Elena sediakan pasti akan dimakan.

Katanya, dia teruja hendak melihat sejauh mana kecekapan dan kepakaran isterinya memasak juadah untuk mereka bersahur dan berbuka nanti.

Pernah menjadi teman sekuliah di Matrikulasi Undang-Undang dan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Fahrin dan isteri dipertemukan selepas 17 tahun berlalu.

Ramadan tahun lalu menjadi detik indah pertemuan mereka yang akhirnya mengikat jodoh pasangan sejoli ini. Sagalanya bermula dengan salam untuk bertanya khabar.

Tanpa mengikat pertunangan, Fahrin dan Elena sepakat mengikat cinta mereka terus dengan perkahwinan. Pada majlis pernikahan itu, Elena menerima mas kahwin RM80.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:04 AM