FAHRIN akan kongsi nama anak selepas pendaftaran rasmi. FOTO FAHRIN AHMAD
FAHRIN akan kongsi nama anak selepas pendaftaran rasmi. FOTO FAHRIN AHMAD
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Isteri pelakon Fahrin Ahmad iaitu Elena Hani Eleas, 38, selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Damansara, di sini, petang tadi.

Bayi seberat 2.7 kilogram itu dilahirkan pada jam 4.15 petang.

Fahrin, 37, ketika dihubungi berkata, isterinya yang bersalin secara normal itu kini berada dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah syukur di atas kurniaan ini lebih-lebih lagi anak sulung kami ini berkongsi tarikh lahir dengan isteri. Saya juga bersyukur apabila semuanya berjalan dengan mudah, selamat dan lancar.

"Ini satu lagi pengalaman yang berharga dan tak dapat dilupakan bagi saya sebagai suami. Tambahan pula apabila menunggu dan melihat isteri melalui proses bersalin serta berada di sisinya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fahrin, dia juga diberi peluang oleh doktor untuk memotong tali pusat anaknya itu.

Menurut pelakon drama Eksperimen Cinta ini, banyak perkara bermain di fikiran ketika isterinya dimasukkan ke bilik bersalin.

"Apa yang penting adalah isteri dan anak selamat tanpa sebarang komplikasi. Sekarang bertambah lagi tanggungjawab dan amanah sebagai ayah dan tak dilupakan ingatan pada ibu yang pernah melahirkan saya.

"Terima kasih kepada doktor dan jururawat yang bertugas menyambut kelahiran anak saya," katanya.

Mengenai nama anak, Fahrin akan berkongsi kepada umum setelah didaftarkan secara rasmi nanti.

Beberapa jam sebelum itu, Fahrin sempat membuat kejutan hari jadi kepada isterinya ketika di bilik bersalin.

Pasangan ini berkahwin pada 9 Mei tahun lalu di Pusat Konvensyen Sime Darby Mont Kiara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 10:06 PM