Fahrin Ahmad. FOTO Ihsan FB Fahrin Ahmad
Fahrin Ahmad. FOTO Ihsan FB Fahrin Ahmad
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Fahrin Ahmad berpendapat pelakon berpengalaman, berusia atau matang juga perlu diberi peluang untuk melakonkan watak utama dalam sesebuah drama.

Fahrin, 43, berkata pelakon dalam kelompok seperti dirinya masih lagi mempunyai pengikutnya tersendiri.

"Saya sudah lama memberi pendapat bahawa industri kita perlu ada drama yang menampilkan barisan pelakon yang lebih matang. Sebabnya sekarang ini saya tengok 'trend' lebih terarah kepada pelakon muda. Boleh lihat mereka yang menjayakan watak yang lebih matang dan seumpamanya.

"Jadi inisiatif untuk menghasilkan drama seperti Selamanya Suri Cinta yang menampilkan barisan pelakon yang matang seperti saya, Siti Nordiana, Faradhiya dan Sham Visa patut disokong.

"Saya percaya pada zaman platform Over-The-Top (OTT) ini seperti Netflix dan sebagainya, drama seperti ini tetap ada penontonnya. Ramai penonton berusia yang mahukan drama yang dibintangi oleh pelakon berpengalaman seperti ini," katanya.

Fahrin menjawab pertanyaan media mengenai mengenai drama terbaharu lakonannya, Selamanya Suri Cinta yang mengetengahkan empat pelakon berusia pada sesi temubual secara virtual, hari ini.

Berkongsi lanjut mengenai drama 20 episod terbitan Suhan Movies itu, Fahrin berkata dia agak kekok menjayakan watak antagonis, malah mendedahkan ramai peminat yang meluahkan rasa kurang selesa melihat dirinya menjayakan watak itu.

"Saya membawakan watak antagonis, suami yang jahat. Saya cuba menjayakannya dengan sebaiknya, walaupun ada yang memberi maklum balas, saya nampak kelakar membawakan watak sebegitu.

"Sedangkan saya sudah mencuba yang terbaik dan saya harap ia boleh diterima. Alhamdulillah ada juga yang boleh melihat sisi lain dalam lakonan saya kali ini," katanya.

Menurut Fahrin, dia tidak pernah memilih watak kerana percaya tawaran diterima berdasarkan permintaan syarikat penerbitan.

"Sebelum ini saya pernah menjayakan watak antagonis, tapi saya pernah menerima maklum balas apabila ada makcik-makcik yang tidak suka saya melakonkan watak sebegitu.

"Saya sentiasa terbuka untuk mencuba watak yang berbeza. Tapi memang watak yang selalunya diberikan kepada saya adalah watak baik," katanya.

Selain Fahrin, drama Selamanya Suri Cinta yang diarahkan oleh Zamri Zakaria dan nukilan skrip oleh Azilah Wahab, Ramlah Rashid, Hasnita Hamidi dan Haslizawaty Hassan turut menampilkan pelakon lain seperti Siti Nordiana, Sham Visa dan Farahdhiya. 

Drama ini ditayangkan setiap Khamis dan Jumaat, jam 9.30 malam di TV9, mulai 15 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 4:56 PM