VINCE
VINCE
Michelle Gun


Berikutan sudah lama tidak muncul dalam industri muzik tanah air, ada pengikut media sosial menyangka Vince Chong adalah bintang kelahiran YouTube.

Bagaimanapun, juara program realiti Akademi Fantasia musim pertama itu tidak berkecil hati sebaliknya menganggap ia sebagai pembawa rezeki.

“Walaupun senyap, saya kerap berkongsi perkembangan diri di media sosial dan ada kalanya memuat naik video lucu.

“Disebabkan itu, ada pengikut generasi muda ingat saya artis YouTube.

“Saya tidak kisah kerana menerusi media sosial saya menerima undangan menyanyi dan mengacara di majlis,” katanya.

Single terakhir berjudul Hanya Kau yang dihasilkan untuk isteri tercinta, Fiona Edward tidak diputarkan di stesen radio. Meskipun terkilan, dia tidak serik mencari material terbaik untuk lagu seterusnya.

“Memang ada perancangan muncul dengan lagu baru tetapi saya mahu material yang sesuai dengan jiwa dan boleh memberi 1,001 makna. Kerana itu, saya tidak mahu terburu-buru mencari ilham. Saya yakin ia akan datang dengan sendirinya,” kata Vince.

Menurut Vince, dia kini banyak terbabit dengan kerja belakang tabir dan pernah menjayakan telefilem Baba Nyonya untuk TV3 sempena Tahun Baru Cina.

“Selain memenuhi undangan majlis korporat, saya juga aktif dalam pementasan teater. Peluang beraksi dalam Baba Nyonya satu pengalaman menarik buat saya kerana perlu bawa watak lucu sebagai lelaki kedekut.

“Pengarah mahu saya berlakon seperti Jim Carey namun ia sukar dizahirkan apabila berada depan kamera,” katanya.

Tubuh pusat latihan nyanyian

Impian Vince untuk membuka pusat latihan nyanyian akhirnya dapat direalisasikan April lalu.

“Pusat ini bukan saja mengajar teknik nyanyian tetapi juga lakonan dan berucap dengan baik.

“Hasrat itu sudah lama ada kerana ramai minta saya mengajar vokal. Menubuhkan pusat latihan nynyian memerlukan persiapan rapi dan tidak boleh sembarangan.

“Apa-apa pun, pengalaman 13 tahun dalam bidang ini buat saya yakin untuk mengusahakan pusat ini.

“Pelajar saya terdiri daripada remaja sehinggalah mereka yang berusia 50-an. Ada juga permintaan daripada rakan artis dan syarikat rakaman ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:05 AM