SARAH juga perlu fokus terhadap karier nyanyian.
SARAH juga perlu fokus terhadap karier nyanyian.
Michelle Gun

PADA awal kemunculannya setahun lalu, Sarah Suhairi pernah mengeluarkan kenyataan dia tiada peminat meskipun mempunyai ramai pengikut di media sosial.

Gadis berusia 18 tahun ini mula mengetengahkan bakat nyanyiannya di media sosial dan rezeki datang apabila dilamar MVM Production.

“Sebelum ini, saya hanya ada lebih 99,000 pengikut di Instagram dan memperoleh kira-kira 5,000 ‘like’ untuk video nyanyian semula lagu popular penyanyi lain.

“Ketika itu, biarpun sudah mengeluarkan single pertama berjudul Pedih, saya belum mempunyai peminat mahupun kelab peminat.

“Dalam media sosial memang banyak komen positif mengenai nyanyian saya namun tiada permintaan mahupun jemputan membuat persembahan,” katanya.

Perjalanan karier nyanyian anak jati Rawang, Selangor ini semakin lancar selepas menyertai program realiti Big Stage pada Ogos lalu.

Namanya mula menjadi sebutan ramai termasuk netizen Korea Selatan selepas menampilkan persembahan mantap lagu kumpulan wanita popular, Blackpink berjudul Ddu-Du Ddu-Du pada konsert Big Stage.

“Sekarang, saya sudah ada kelab peminat yang dikenali sebagai Sarahae. Saya juga sering menerima pertanyaan mengenai lokasi persembahan.

“Malah jumlah pengikut di Instagram meningkat kepada lebih 400,000. Jumlah tontonan video yang dikongsi juga mencatat tontonan lebih 60,000 kali,” katanya.

Terbaru, Sarah memperkenalkan single kedua, Nyawa Dan Raga yang kini ditonton lebih dua juta kali di YouTube.

“Video muzik Pedih mengambil masa empat bulan untuk naik tetapi saya terkejut apabila Nyawa Dan Raga hanya perlu empat hari untuk cecah sejuta tontonan,” katanya.

Nyawa dan Raga ditulis oleh Room None manakala lirik nukilan Iman Imran.

Mahu hasil lagu rap

Berikutan kebolehan Sarah menyampaikan beberapa baris rap dalam Nyawa dan Raga, penyanyi itu merancang mengeluarkan lagu rap penuh pada masa akan datang.

Malah, dia turut menyimpan hasrat ingin menjadi penyanyi berhijab rap pertama Malaysia.

“Saya selalu dengar muzik penyanyi rap antarabangsa terkenal dan memang minat genre itu. Jadi, saya cuba rap beberapa baris lirik menerusi Nyawa dan Raga,” katanya.

Dalam pada itu, video muzik rasmi Nyawa dan Raga yang dimuat naik di YouTube 15 Oktober lalu menerima banyak komen positif pendengar.

Namun, ada juga pendengar berpendapat video muzik itu tidak kena dengan lirik yang menyampaikan mesej mengenai persahabatan.

Menjelaskan perkara itu, Sarah memberitahu menghasilkan video muzik sedemikian kerana mahu menampilkan kelainan.

“Ramai penyanyi baru sekarang turut menggunakan cara sama untuk video muzik mereka supaya nampak berbeza

“Bagi saya, setiap penyanyi bebas tampil dengan apa sahaja kandungan dalam video muzik asalkan tidak melampaui batas,” katanya.

Masih cari genre sesuai

Sementara itu, Sarah yang bercita-cita menjadi juruukur bahan memberitahu masih mencari genre muzik yang sesuai dengan jiwanya.

“Saya suka pelbagai genre muzik seperti R&B, pop dan balada. Sebagai penyanyi baru saya mahu cuba semua genre dulu, barulah pilih mana satu yang betul-betul sesuai.

“Pengikut di media sosial pula suka dengan semua lagu saya nyanyi asalkan sedap,” katanya.

Sebagai orang baru dalam industri, Sarah berharap pendengar Malaysia boleh menerima muzik yang diperjuangkannya.

“Saya harap pendengar boleh beri peluang kepada penyanyi muda baru untuk mengetengahkan karya kami. Saya percaya kami semua boleh pergi jauh jika terus berusaha,” katanya.

Dalam pada itu, Sarah memberitahu sedia menerima tawaran berlakon sekiranya tidak membabitkan waktu penggambaran panjang.

“Saya juga perlu fokus terhadap karier nyanyian. Biarpun ingin cuba bakat lain, saya tidak mahu terlalu cepat menceburi bidang lain kerana bimbang orang lupa saya asalnya penyanyi,” katanya.

Ujar Sarah, buat masa sekarang dia mahu fokus mempromosikan lagu Nyawa dan Raga selain merancang membuat persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 7:00 AM