KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Najiy Jefri


PROGRAM realiti hiburan I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) kembali untuk musim kedua bermula 23 Jun ini pada setiap Ahad, jam 9 hingga 10.30 malam di TV3.

Program yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan oleh CJ ENM itu bakal menampilkan penyanyi misteri bersama barisan artis jemputan tanah air sepanjang 13 minggu bersiaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, program itu menjadi bualan dan trending di platform digital menerusi YouTube.

"Kami mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada penonton setia apabila program ICSYVMY musim pertama menjadi bualan dan trending di platform digital menerusi YouTube.

"Sokongan penonton membuatkan TV3 meneruskan ICSYVMY untuk musim kedua dengan pembaharuan yang lebih segar bersesuaian dengan permintaan penonton hari ini," katanya.

Menurutnya, ICSYVMY 2 bakal memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam bidang nyanyian untuk mengekspreskan bakat terpendam.

"Program sebegini dilihat memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam bidang nyanyian tetapi tidak mempunyai pengalaman mengekspreskan impian mereka menyanyi dalam program sebegini.

"Walaupun tidak mempunyai bakat dalam nyanyian ia bukan satu penghalang kepada mereka kerana yang penting adalah keyakinan dan kemampuan diri.

"Menarik dan uniknya program ini adalah kreativiti setiap peserta yang perlu bijak untuk memperdayakan penonton dengan lakonan mereka ketika menyampaikan lagu terpilih untuk terus kekal di atas pentas ICSYVMY2," katanya.

ICSYVMY 2 akan dihoskan oleh dua pengacara yang sememangnya lucu dan bakal membuatkan penonton tidak kering gusi iaitu Shuk Sahar dan Sean LJE.

Manakala tugas sebagai ‘penyiasat tetap’ pula masih lagi digalas oleh Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul sama seperti musim pertama.

Selain tiga penyiasat tetap ini, mereka turut ditemani oleh dua lagi orang penyiasat jemputan untuk membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah sebenarnya penyamar bersuara sumbang dalam kalangan penyanyi-penyanyi misteri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 6:47 PM