ROBSON-KANU (kanan) meraikan jaringannya.
ROBSON-KANU (kanan) meraikan jaringannya.
Reuters

Bordeaux, Perancis: Gareth Bale memulakan permulaan sempurna Wales pada kempen Euro 2016 dengan gol awal manakala pemain gantian Hal Robson-Kanu menyumbat gol kemenangan lewat perlawanan ketika membantu mereka mengatasi Slovakia 2-1 pada aksi pertama Kumpulan B, awal pagi semalam.

Selepas penantian selama 58 tahun untuk layak ke kejohanan besar, ia hasil yang diharapkan dan hampir 38,000 penyokong turut meraikan kejayaan itu bersama pemain sebaik perlawanan tamat.

Jurulatih Wales Chris Coleman berkata, ia satu pengalaman menakjubkan buat pasukannya yang akan bertembung dengan jiran mereka England pada perlawanan kedua, Khamis ini.

Coleman membuat keputusan tepat apabila memasukkan Robson-Kanu dengan perlawanan hanya berbaki 20 minit.

Penyerang yang kini tidak mempunyai kelab itu apabila kontraknya dengan Reading dalam Liga Kejuaraan berakhir, berjaya menjaringkan gol pada minit ke-81 selepas mendapat lorongan bola rakan sepasukan Aaron Ramsey.

Sebelum itu, Bale berjaya meletakkan pasukannya di hadapan dengan jaringan cantik menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol Slovakia Matus Kozacik.

Slovakia sepatutnya mendapat jaringan awal pada minit kelima apabila pemain mereka Marek Hamsik berjaya menggelecek tiga pemain Wales namun percubaan penyerang itu berjaya dihalang pemain pertahanan Ben Davies di atas garisan gol.

Bagaimanapun, mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi sentuhan pertama pemain gantian Ondrej Duda pada minit ke-61.

Sementara itu, Bale menegaskan ia bukan penamat yang baik tapi mereka amat gembira.

“Sebaik pemain gantian masuk, mereka memberi impak positif dan Hal bertindak dengan mengagumkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 9:48 AM