Kuala Terengganu: Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada semua 7,600 penjawat awam termasuk kakitangan badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata ia membabitkan peruntukan RM3.765 juta.

"Ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembayaran bantuan khas kewangan untuk penjawat awam di peringkat pusat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan pembayaran bantuan itu secepat mungkin sebelum Aidilfitri.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan meneruskan pemberian dana raya sempena Aidilfitri kepada 217,001 rakyat Terengganu yang layak tahun ini.

“Kita peruntukkan RM80.266 juta bagi tujuan itu yang mencatat peningkatan 2.4 peratus iaitu RM1.9 juta berbanding tahun lalu, RM78.3 juta.

"Sebanyak 228,608 permohonan diterima tahun ini dan daripada jumlah itu, 11,607 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat kelayakan," katanya.

Ahmad Razif berkata bagi permohonan yang ditolak, kerajaan negeri akan membuka rayuan bermula 20 hingga 30 Jun ini dan keputusannya bakal diketahui selepas Aidilfitri.

Kadar bantuan itu diagihkan mengikut kategori yang ditetapkan iaitu RM400 bagi berpendapatan rendah (berkeluarga atau ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak) dan RM300 untuk penerima belum berkahwin, berusia 40 tahun ke atas, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan duda atau janda (yang tidak mempunyai anak).

Bantuan raya itu akan diagihkan secara berperingkat mulai esok di seluruh Terengganu dengan penerima perlu menebus baucar di Bank Simpanan Nasional (BSN) atau Agrobank sebelum tamat tempoh pada 16 Oktober,

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 4:38 PM