GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan mengagihkan Bantuan Khas i-Fitri RM300 kepada penerima yang layak bermula Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, tahun ini, 144,840 ketua isi rumah (KIR) layak menerima bantuan membabitkan peruntukan RM43.4 juta.

Beliau berkata, pengagihan bantuan itu akan diadakan selama tiga hari bermula 17 April.

"Kita bersetuju memberikan Bantuan Khas i-Fitri berjumlah RM300 kepada setiap KIR yang layak secara tunai.

"Justeru, kita harap proses pengagihan ini dapat diselesaikan dengan sempurna dan bantuan ini dapat membantu meringankan beban kepada penerima untuk menyambut perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas di Dewan Utama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah YPKT Zahanapi Sagaf.

Hanafiah berkata, tiga peratus daripada permohonan ditolak kerana kesalahan mengisi borang dan penerima yang tidak layak menerima bantuan.

"Tiga peratus yang kita tolak ini kerana pendapatan mereka melebihi syarat yang ditetapkan selain kakitangan kerajaan, Ada juga yang salah mengisi borang permohonan," katanya.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, bagi Bantuan i-Fitri Perantau, penerima yang layak akan menerima bantuan RM300 selepas Aidilfitri.

Katanya, pihaknya baru membuka permohonan pada 6 April lalu dan dijangkakan berlaku peningkatan penerima pada tahun ini berbanding tahun lalu.

"Tahun ini, kita jangkakan 20,000 penerima bakal menerima bantuan i-Fitri Perantau selepas melakukan perubahan syarat berbanding hanya kira-kira 4,000 penerima tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 2:50 PM