Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu mengumumkan pemberian bantuan khas Aidilfitri berjumlah RM700 kepada penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia membabitkan lebih 12,000 penjawat awam termasuk kakitangan kontrak di Terengganu dengan peruntukan hampir RM9 juta.

Beliau berkata, pemberian bonus itu sebagai menghargai jasa dan komitmen mereka yang menggerakkan pentadbiran kerajaan.

"Kita menyedari semua kakitangan kerajaan sudah berusaha bekerja dengan begitu keras sekali untuk mengembalikan ekonomi negeri dalam keadaan yang lebih baik.

"Alhamdulillah, kita merasa sangat gembira dengan pencapaian kita dan itu (pemberian bonus) sebagai sumbangan kerajaan negeri kepada mereka semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Prihatin Ramadan Daerah Kuala Nerus di Masjid Nur Bakti, Kampung Wakaf Tembesu di sini, semalam.

Ahmad Samsuri berkata, pembayaran akan dibuat dalam masa terdekat sebelum sambutan Aidilfitri membabitkan semua kakitangan sama ada tetap atau kontrak.

Beliau berharap bantuan kewangan itu dapat meringankan beban penjawat awam di Terengganu dalam membuat persediaan untuk menyambut Aidilfitri.

Tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan bonus sebanyak RM500 kepada penjawat awam di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 9:18 AM
Dr Ahmad Samsuri semasa sidang media pada Program Prihatin Ramadhan Daerah Kuala Nerus di Masjid Nur Bakti, Kampung Wakaf Tembesu di sini semalam. FOTO GHAZALI KORI
Dr Ahmad Samsuri semasa sidang media pada Program Prihatin Ramadhan Daerah Kuala Nerus di Masjid Nur Bakti, Kampung Wakaf Tembesu di sini semalam. FOTO GHAZALI KORI