PAPARAN Twitter Guan Eng mengenai pengagihan BR1M.
PAPARAN Twitter Guan Eng mengenai pengagihan BR1M.
Siti Nur Mas Erah Amran


PENERIMA Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dijangka menerima bayaran kedua bantuan berkenaan pada awal Jun ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, bantuan terbabit akan diagihkan sebelum sambutan Aidilfitri.

“Seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, BR1M (yang akan diberikan nama lain) akan dibayar pada bulan Jun sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Maklumat lanjut akan diumumkan pada minggu depan,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya @guanenglim, sebentar tadi.

Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan pemberian BR1M yang diteruskan di bawah kerajaan sekarang, namun akan dikaji semula bagi memastikan hanya golongan yang layak menerimanya.

Ketika di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini, agihan BR1M dilakukan secara berperingkat dan kira-kira tujuh juta penerima seluruh negara menerima bantuan fasa pertama pada 26 Februari lalu.

Ketika melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada April lalu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut memperkenalkan dua kategori baharu penerima BR1M sekiranya BN menang.

Berdasarkan janji BN itu, tiga kategori sedia adalah untuk isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 ke bawah, RM4,000 ke bawah dan individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 ditingkatkan kadar bantuan terbabit.

Dua kategori baharu yang diperkenalkan adalah untuk isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 bakal menerima RM700.

Selain itu, BN turut berjanji bantuan sekali gus sebanyak RM1,500 diberi kepada anak penerima BR1M yang dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Bagi penerima BR1M kategori isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, BN berjanji pemberian BR1M pada Jun dan Ogos sebanyak RM400 dinaikkan kepada RM800 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,000.

Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 pula, pemberian akan digandakan kepada RM600 berbanding RM300 yang diterima ketika ini menjadikan pemberian BR1M (kumpulan itu) pada tahun ini meningkat kepada RM1,000.

Bagi individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 pula, penerima bakal mendapat nilai tambahan sebanyak RM150 menjadikan keseluruhannya RM600, berbanding RM450 ketika ini.

Seramai 7.2 juta rakyat Malaysia menerima BR1M dengan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 6:13 PM