GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Azura Abas; Manirajan Ramasamy; Mohd Husni Mohd Noor; Irwan Shafrizan Ismail; Luqman Arif Abdul Karim dan Hazwan Faisal Mohamad


SERAMAI 1.2 juta daripada keseluruhan 1.6 penjawat awam di seluruh negara akan menikmati bonus sebanyak RM400 seperti yang diumumkan kerajaan menerusi Bantuan Khas Aidilfitri.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bantuan berkenaan membabitkan kira-kira 75 peratus penjawat awam di seluruh negara.

Beliau berkata, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri berjumlah RM400 yang akan dibayar untuk penjawat awam Gred 41 dan ke bawah selain RM200 untuk pesara.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi bantuan khas berkenaan untuk penjawat awam dan pesara.

“Kerajaan mengiktiraf peranan penting kakitangan awam dahulu dan sekarang dalam membangunkan negara,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, bayaran khas membabitkan peruntukan RM700 juta akan dibentang menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan pada sidang Parlimen bulan depan.

Lim berkata, pihaknya sudah melakukan semakan dan mendapati bonus Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam yang diumumkan kerajaan terdahulu tidak termasuk dalam peruntukan Bajet 2018.

“Kami sudah semak. Ia bukan dalam Bajet 2018,” katanya.

Justeru, katanya, kementerian akan memohon sesi tambahan RUU Perbekalan Tambahan untuk membentangkan Bantuan Khas Aidilfitri itu.

Kelmarin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bantuan khas perayaan berjumlah RM400 bagi kakitangan awam Gred 41 ke bawah dan RM200 untuk pesara kerajaan pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet.

Tahun lalu, menerusi Bajet 2018, kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Manakala, bantuan khas RM250 pula diberikan kepada 743,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 8:18 PM