LAKUKAN pemeriksaan tekanan darah dengan kerap terutama pada waktu pagi.
LAKUKAN pemeriksaan tekanan darah dengan kerap terutama pada waktu pagi.
PANEL berdiskusi mengenai kesedaran penyakit dan kaitan lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dengan strok.
PANEL berdiskusi mengenai kesedaran penyakit dan kaitan lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dengan strok.
DR Chia menyampaikan maklumat ketika pelancaran kempen.
DR Chia menyampaikan maklumat ketika pelancaran kempen.
Siti Nadirah Hafidzin


Walaupun lonjakan darah pada waktu pagi adalah fenomena biasa untuk badan, namun tekanan darah yang tinggi sehingga melebihi 135/85 mmHG boleh meningkatkan risiko serangan strok yang serius.

Lonjakan tekanan darah pada waktu pagi biasanya berlaku antara jam 6 pagi hingga tengah hari.

Peningkatan tekanan darah secara mendadak pada waktu ini boleh mengakibatkan penyakit kardiovaskular seperti strok dan kematian mengejut.

Malah, lonjakan tekanan darah pada waktu pagi juga salah satu risiko utama untuk serangan strok klinikal.

Pakar Perubatan Kanan Produk Pfizer Malaysia Dr G Gayatri berkata, susulan daripada Mesyuarat Tahunan Persatuan Hipertensi Jepun Kali Ke-38, pakar perubatan mendedahkan terdapat kurangnya kesedaran mengenai pemantauan dan pengurusan lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dalam kalangan masyarakat Asia.

“Hasil daripada ujian klinikal yang dijalankan mendapati lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dan kesan peningkatan yang ketara boleh menyebabkan serangan strok.

“Sehubungan itu, pakar perubatan mencapai persetujuan untuk mengenal pasti dan menguruskan tekanan darah pada waktu pagi, yang sering diabaikan dalam masalah hipertensi,” katanya.

Menurut Dr Gayatri, isu itu mencetus satu keperluan untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dan kaitannya dengan serangan strok.

“Langkah pertama dalam pengurusan lonjakan tekanan darah pada waktu pagi adalah dengan memantau tekanan darah secara kerap di rumah, terutama pada waktu pagi yang kini kurang diamalkan,” katanya.

Pfizer Malaysia dengan kerjasama Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) dan Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM) melancarkan kempen The Morning Hype, baru-baru ini.

Kempen yang dianjurkan sempena Hari Hipertensi Sedunia itu bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai penyakit dan kaitan lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dengan strok.

Hipertensi penyakit pembunuh senyap

Hipertensi yang juga dikenali sebagai tekanan darah tinggi adalah penyakit pembunuh senyap yang kini menjadi isu perubatan dan kesihatan awam yang paling utama, bukan saja di dunia malah di Malaysia.

Lebih 970 juta penduduk di seluruh dunia menderita penyakit yang berkaitan dengan amalan gaya hidup kini.

Di Malaysia, kadar peratusan penyakit hipertensi semakin meningkat dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas yang mencecah 30 peratus.

Apa yang lebih membimbangkan, bagi setiap dua pesakit yang mengalami tekanan darah tinggi, terdapat tiga pesakit tidak menyedari mereka menghidap penyakit hipertensi.

Malah, usaha kempen ini selaras dengan pelan Kementerian Kesihatan bagi mencapai sasaran pencegahan serta kawalan Penyakit Tidak Berjangkit menjelang 2025.

Inisiatif ini membantu mencapai sasaran kebangsaan bagi menurunkan kadar peratusan penyakit hipertensi sehingga kurang daripada 24 peratus di seluruh negara.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) Prof Datin Dr Chia Yook Chin berkata, walaupun ramai yang mengetahui mengenai penyakit hipertensi, ramai juga masih tidak mengetahui lonjakan tekanan darah pada waktu pagi.

“Tekanan darah kita berubah dan turun naik dalam selang waktu tertentu pada masa berbeza setiap hari. Peningkatan tekanan darah yang ketara berlaku apabila terdapat lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dan apabila tekanan darah dibiarkan tidak terkawal, ia boleh menjadi risiko kepada serangan strok serta penyakit kardiovaskular,” katanya.

Menurutnya, menerusi kempen dijalankan, pihaknya mahu memupuk amalan kerap memantau bacaan tekanan darah bagi meningkatkan tahap kawalan.

“Masa terbaik untuk mengukur bacaan tekanan darah ialah dua jam selepas bangun tidur kerana ketika itu tekanan darah pada waktu pagi berada di kemuncaknya.

“Ia juga amat penting bagi mereka yang tidak menghidapi penyakit hipertensi untuk memeriksa tekanan darah mereka sekurang-kurangnya setahun sekali dan bagi mereka yang ingin mengetahui keadaan dan risiko penyakit dengan lebih lanjut, kami menggalakkan mereka bertemu dengan doktor segera,” ujarnnya.

Strok berlaku tanpa amaran

Pengurus Besar Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM) Sylvia Chong menjelaskan kaitan lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dengan strok.

“Serangan strok berlaku tanpa amaran dan boleh mengubah hidup seseorang sepenuhnya. Tidak kira lelaki atau wanita, ia mendatangkan kesan buruk kepada kualiti kehidupan seseorang itu apabila dia mengalami strok dan biasanya akan menyebabkan kematian atau hilang upaya sepanjang hayat mereka,”katanya.

Menurutnya, pesakit di pusat rawatan kebiasaannya harus mempelajari semula kemahiran melalui proses pemulihan yang meluas seperti terapi pertuturan, fizikal, pekerjaan serta rekreasi, kaunseling dan aktiviti berkumpulan.

“Strok ialah penyebab kematian kedua terbesar di Malaysia namun ramai yang masih menganggap strok hanya akan berlaku apabila mereka berusia 70 tahun dan ke atas sedangkan terdapat pesakit strok daripada pusat rawatan kami yang mengalami serangan strok ketika di dalam kandungan ibu.

“Sebenarnya, strok turut menyerang golongan muda dan kami juga memerhatikan kebanyakan kes strok memang berlaku pada waktu pagi. Justeru, langkah pencegahan perlu dimulakan dari awal terutama dalam kalangan pesakit hipertensi bagi mengurangkan risiko serangan strok,” tambahnya.

Kempen The Morning Hype bertujuan menyampaikan maklumat kepada pesakit dan komuniti melalui program kemasyarakatan, bahan pembelajaran, pemeriksaan tekanan darah percuma dan demonstrasi serta inisiatif yang membabitkan pengamal penjagaan kesihatan dan peniaga.

Aktiviti yang diadakan berasaskan kepada dua perkara utama iaitu menggalakkan orang ramai supaya memeriksa tekanan darah dengan kerap terutama pada waktu pagi dan membuat pemeriksaan tekanan darah dengan tepat.

Kempen itu juga menyediakan beberapa kaunter pemeriksaan tekanan darah dengan kerjasama kedai farmasi bertujuan untuk memberi pendidikan lebih lanjut kepada pengguna.

Pelekat cermin The Morning Hype yang direka khas bagi memudahkan pengguna mencatat bacaan tekanan darah harian boleh didapati di semua kedai farmasi yang menyertai kempen ini.

Sebagai salah satu usaha untuk mengalakkan pembabitan golongan profesional dalam bidang penjagaan kesihatan, satu Simposium Pagi akan diadakan bagi mendedahkan mengenai lonjakan tekanan darah pada waktu pagi menerusi pemantauan tekanan darah yang tepat bagi mencapai kawalan tekanan darah 24 jam.

Inisiatif di bawah kempen ini akan berterusan sehingga Oktober sempena Hari Strok Sedunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 12:35 PM