KAJIAN perubatan juga menunjukkan bahawa tekanan darah tinggi mempunyai hubungan rapat dengan sakit jantung dan strok.
KAJIAN perubatan juga menunjukkan bahawa tekanan darah tinggi mempunyai hubungan rapat dengan sakit jantung dan strok.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


UMUM mengetahui bahawa strok adalah punca kematian ketiga tertinggi di negara ini.

Kajian yang dilakukan pada tahun 2019 mendapati Malaysia mencatatkan sebanyak 47,911 kes strok setahun dengan membabitkan 19,928 kes kematian.

Apa yang membimbangkan adalah, kajian itu juga mendapati kadar umur pesakit strok di Malaysia jauh lebih muda berbanding dengan negara lain di Asia Tenggara.

Ia bukanlah isu yang boleh dipandang remeh kerana kebanyakan pesakit strok hidup dengan bergantung kepada bantuan orang lain dalam aktiviti seharian.

Pakar Perunding Bedah Otak dan Saraf, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr Nor Faizal Ahmad Bahuri berkata, strok adalah satu keadaan kecemasan di mana aliran darah ke otak terhenti secara tiba-tiba menyebabkan berlakunya kematian sel otak.

Kata beliau, ia berlaku kerana saluran darah tersumbat atau saluran pembuluh darah pecah, menyebabkan sel otak tidak mendapat oksigen dan nutrisi yang diperlukan.

Katanya, sel otak sangat sensitif kepada kekurangan oksigen dan kerosakan bahagian otak yang mengawal pelbagai fungsi tubuh boleh meyebabkan kematian atau kerosakan otak yang berkekalan.

"Dari segi perubatan, strok dan serangan sakit jantung adalah satu masalah yang hampir sama iaitu saluran darah ke organ (jantung dan otak) terhenti secara tiba-tiba kerana saluran darah yang tersumbat. "Ia menyebabkan sel organ itu mati dan hilang fungsinya.

"Bagaimanapun, fungsi jantung sebagai pam dan fungsi otak sebagai 'komputer' menghasilkan kesan yang berbeza,"katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nor Faizal berkata, kajian perubatan juga menunjukkan bahawa tekanan darah tinggi mempunyai hubungan rapat dengan sakit jantung dan strok.

Tekanan darah yang tinggi menghasilkan tekanan ke atas saluran darah terutamanya di persimpangan saluran darah besar.

Kata beliau, secara semula jadi, badan akan cuba mengawal dan membaiki kecederaan itu lalu akan menghasilkan satu tampalan di dinding saluran darah.

"Tampalan di dinding saluran darah itu semakin menebal setiap kali kecederaan berlaku dan saluran darah menjadi sempit sehingga pada satu masa ia tertutup secara tiba-tiba," katanya.

Jelas beliau, terdapat banyak faktor risiko yang boleh menyebabkan strok terjadi.

Selain tekanan darah tinggi, kandungan lipid yang tinggi dalam darah juga boleh menyumbang kepada pengecilan saluran pembuluh darah.

Kata Dr Nor Faizal, tindak balas badan yang menghasilkan tampalan di dinding saluran darah boleh menarik lipid untuk menjadi sebahagian daripada tampalan itu dan secara langsung mengurangkan aliran darah ke otak.

"Keadaan itu dikenali sebagai artherosclerosis. Kumpulan lemak di dinding saluran darah meyebabkan saluran darah menjadi keras dan meyebabkan tekanan darah meningkat," katanya.

Dalam pada itu, masalah obesiti juga adalah salah satu risiko menyebabkan strok.

Kekurangan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian dan faktor pemakanan yang tidak seimbang menyebabkan badan menyimpan lemak di dalam badan serta di sekeliling organ.

Antara faktor lain yang jelas boleh memberi kesan kepada berlakunya strok adalah penyakit kencing manis.

Dr Nor Faizal berkata, penyakit kencing manis antara masalah kesihatan utama di Malaysia ketika ini.

Katanya, risiko pesakit yang mempunyai diabetes melitus untuk mendapat serangan strok adalah 1.5 lebih tinggi daripada orang biasa.

"Selain itu, masalah kandungan gula dalam darah yang tinggi juga boleh menyebabkan stress dan kecederaan kepada saluran darah.

"Kebanyakan pesakit diabetes juga mempunyai kecederaan di saluran darah yang kecil, yang menyebabkan organ (yang mempunyai saluran darah yang kecil) cepat rosak seperti retina mata, buah pinggang dan

saluran darah kecil di otak," katanya yang menjelaskan bahawa merokok juga boleh menjadi faktor untuk mendapatkan strok.

Sementara itu, antara gejala stok yang boleh dikesan adalah kombinasi di mana pesakit hilang fungsi badan.

Antaranya muka menjadi senget secara tiba-tiba, bahagian badan menjadi kebas, lemah dan hilang fungsi atau jatuh serta hilang imbangan disebabkan kehilangan fungsi separuh badan.

Selain itu, percakapan pesakit juga menjadi kurang jelas disebabkan lidah tidak berfungsi atau pesakit tidak dapat memahami arahan.

Pesakit juga boleh sedarkan diri, kombinasi itu mungkin berlaku dengan pantas dalam beberapa minit atau mengambil masa beberapa jam.

Dr Nor Faizal berkata, perkara paling utama dalam rawatan strok adalah masa.

Justeru, pesakit perlu dibawa ke hospital dengan segera kerana fungsi otak yang sangat sensitif kepada kekurangan oksigen.

"Elakkan dari memberi minuman atau makan kepada pesakit sehingga diperiksa petugas kesihatan kerana pesakit mungkin kehilangan fungsi mengawal keron

gkong dan air atau makanan mungkin akan masuk terus ke dalam paru-paru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 7:00 AM