LONJAKAN tekanan darah pada waktu pagi biasanya berlaku antara jam 6 pagi hingga tengah hari.
LONJAKAN tekanan darah pada waktu pagi biasanya berlaku antara jam 6 pagi hingga tengah hari.
Siti Nadirah Hafidzin


Berapa ramai antara kita yang sedar dan tahu bahawa tekanan darah kita meningkat pada waktu pagi iaitu ketika kebanyakan orang baru bangun dari tidur? Mungkin tidak ramai yang tahu perkara ini tetapi ia adalah keadaan yang kita alami setiap hari.

Walaupun lonjakan tekanan darah pada waktu pagi adalah fenomena biasa untuk badan, namun tekanan darah yang terlalu tinggi boleh meningkatkan risiko serangan strok yang serius.

Lonjakan tekanan darah pada waktu pagi biasanya berlaku antara jam 6 pagi hingga tengah hari. Peningkatan tekanan darah secara mendadak pada waktu ini boleh mengakibatkan penyakit kardiovaskular seperti strok dan kematian mengejut.

Malah, lonjakan tekanan darah pada waktu pagi juga salah satu risiko utama untuk serangan strok klinikal.

Pakar Perubatan Kanan Produk Pfizer Malaysia Dr G Gayatri berkata, susulan daripada Mesyuarat Tahunan Persatuan Hipertensi Jepun Kali Ke-38, pakar perubatan mendedahkan kurangnya kesedaran mengenai pemantauan dan pengurusan lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dalam kalangan masyarakat Asia.

“Hasil daripada ujian klinikal yang dijalankan mendapati lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dan kesan peningkatan yang ketara boleh menyebabkan serangan strok.

“Sehubungan itu, pakar perubatan mencapai persetujuan untuk mengenal pasti dan menguruskan tekanan darah pada waktu pagi, yang sering diabaikan dalam masalah hipertensi,” katanya.

Menurut Dr Gayatri, isu itu mencetus satu keperluan untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dan kaitannya dengan serangan strok.

“Langkah pertama dalam pengurusan lonjakan tekanan darah pada waktu pagi adalah dengan memantau tekanan darah secara kerap di rumah, terutama pada waktu pagi yang kini kurang diamalkan,” katanya.

ISU KESIHATAN DUNIA

Hipertensi yang juga dikenali sebagai tekanan darah tinggi adalah penyakit pembunuh senyap yang kini menjadi isu perubatan dan kesihatan awam yang paling utama, bukan saja di dunia malah di Malaysia.

Lebih 970 juta penduduk di seluruh dunia menderita penyakit yang berkaitan dengan amalan gaya hidup kini.

Di Malaysia, kadar peratusan penyakit hipertensi semakin meningkat dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas yang mencecah 30 peratus.

Apa yang lebih membimbangkan, bagi setiap dua pesakit yang mengalami tekanan darah tinggi, terdapat tiga pesakit tidak menyedari mereka menghidap penyakit hipertensi.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) Prof Datin Dr Chia Yook Chin berkata, walaupun ramai yang mengetahui mengenai penyakit hipertensi, ramai juga masih tidak mengetahui lonjakan tekanan darah pada waktu pagi.

“Tekanan darah kita berubah dan turun naik dalam selang waktu tertentu pada masa berbeza setiap hari. Peningkatan tekanan darah yang ketara berlaku apabila terdapat lonjakan tekanan darah pada waktu pagi dan apabila tekanan darah dibiarkan tidak terkawal, ia boleh menjadi risiko kepada serangan strok serta penyakit kardiovaskular,” katanya.

Menurutnya, menerusi kempen dijalankan, pihaknya mahu memupuk amalan kerap memantau bacaan tekanan darah bagi meningkatkan tahap kawalan.

“Masa terbaik untuk mengukur bacaan tekanan darah ialah dua jam selepas bangun tidur kerana ketika itu tekanan darah pada waktu pagi berada di kemuncaknya.

“Ia juga amat penting bagi mereka yang tidak menghidapi penyakit hipertensi untuk memeriksa tekanan darah mereka sekurang-kurangnya setahun sekali dan bagi mereka yang ingin mengetahui keadaan dan risiko penyakit dengan lebih lanjut, kami menggalakkan mereka bertemu dengan doktor segera,” ujarnya.

LANGKAH ELAK HIPERTENSI

Pengamalan gaya hidup sihat dengan sentiasa bersikap positif dalam kehidupan.

Elakkan tekanan melampau, cuba rehatkan diri apabila berasa tertekan. Cari cara yang bersesuaian untuk menenangkan fikiran anda. Ambil masa untuk memikirkan punca tekanan anda adakah ia disebabkan masalah keluarga, kerja, kewangan atau berkaitan dengan kesihatan. Apabila diketahui puncanya, ia akan memudahkan anda untuk mencari jalan penyelesaian.

Lakukan rutin pemeriksaan kesihatan teratur terutama apabila sudah mengetahui mempunyai risiko hipertensi.

Amalkan pengambilan ubat-ubatan secara teratur dan jangan sesekali meninggalkan ubatan apabila keluar rumah.

Banyakkan minum air kosong mengikut keperluan tubuh.

Amalkan pemakanan sihat dan seimbang. Paling utama, kurangkan pengambilan garam dan tingkatkan jumlah potassium dalam diet. Lebihkan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh.

Bersenam secara konsisten. Senaman boleh membantu anda mengekalkan berat badan dan merendahkan tekanan darah. Lakukan senaman berintensiti sederhana atau aerobik sekurang-kurangnya dua setengah jam (150 minit seminggu). Antara senaman aerobik adalah berjalan cepat, joging, menari, bermain badminton atau apa saja aktiviti yang membuatkan jantung anda berdegup pantas dan memaksa anda menggunakan oksigen daripada biasa.

Kekalkan berat badan ideal. Kegemukan dan obesiti akan mening­katkan risiko untuk mendapat tekanan darah tinggi.

Hadkan pengambilan alkohol. Minum terlalu banyak alkohol juga boleh meningkatkan tekanan darah anda. Ia bukan saja menambah kalori, malah boleh membuatkan berat badan bertambah.

Berhenti merokok. Merokok boleh meningkatkan tekanan darah dan mendekatkan anda dengan risiko serangan jantung dan

strok. Dapatkan bantuan untuk berhenti merokok dengan berjumpa doktor. Bagi yang tidak merokok, cubalah sedaya mungkin untuk menghindari kawasan yang menjadi tumpuan perokok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 12:44 PM