Faiz bersaing bersama Marlone (Brazil) dan Daniuska Rodriguez (Venezuela). FOTO FIFA
Faiz bersaing bersama Marlone (Brazil) dan Daniuska Rodriguez (Venezuela). FOTO FIFA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jaringan ajaib pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri berjaya disenaraikan dalam tiga jaringan terbaik dunia dan berpeluang cerah untuk dinobatkan selaku pemenang bagi Anugerah Puskas 2016 Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi keputusan undian yang dikeluarkan FIFA sebentar tadi, Faiz bakal dicabar oleh dua lagi pesaing lain iaitu pemain tengah Corinthians, Marlone dan penyerang skuad kebangsaan wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Keputusan itu juga menyaksikan dua bintang bola sepak dunia, Lionel Messi dan Neymar terlepas untuk memenangi anugerah itu.

Sebelum ini, Faiz mencipta sejarah baru bola sepak tanah air apabila gol menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu berjaya dicalonkan dalam anugerah Puskas tahun ini.

Selain Messi dan Neymar, turut bersaing untuk merebut anugerah sempena nama penyerang legenda Real Madrid dan Hungary, Ferenc Puskas itu adalah Mario Gaspar dari Sepanyol, Hlompho Kekana (Afrika Selatan), Marlone (Brazil), Hal Robson-Kanu (Wales), Daniuska Rodriguez (Venezuela), Saul Niguez (Sepanyol) dan Simon Skrabb (Finland).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 8:59 PM