JAMES (kanan) meraikan jaringan kemenangan Wales yang dihasilkannya ketika berdepan Czech. FOTO AFP
JAMES (kanan) meraikan jaringan kemenangan Wales yang dihasilkannya ketika berdepan Czech. FOTO AFP
AFP

Cardiff: Wales mengakhiri permulaan buruk dengan gol, Daniel James pada lewat perlawanan membolehkan mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Republik Czech dalam saingan kelayakan Piala Dunia.

Pemain tengah Manchester United itu berjaya menanduk masuk hantaran lintang Gareth Bale sembilan minit sebelum perlawanan tamat di Stadium Cardiff City.

Kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas penyerang Czech, Patrik Schick dan pertahanan Wales, Connor Roberts diperintah keluar padang.

Selepas kalah 1-3 kepada Belgium dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E minggu lalu, Wales kembali pada landasan untuk memburu tempat ke Piala Dunia Qatar 2022.

Ia kemenangan yang sangat diperlukan Wales selepas berdepan beberapa isu di luar padang sekali gus mampu mengganggu fokus mereka untuk melayakkan diri.

Sekali lagi, Wales dibimbing oleh pengurus sementara, Robert Page manakala Ryan Giggs kekal terpaksa berjauhan dengan pasukan berikutan penahanannya kerana disyaki menyerang seorang wanita tahun lalu.

Giggs menyangkal tuduhan itu dan sudah diikat jamin oleh polis Greater Manchester.

Memburukkan lagi keadaan tiga pemain Wales, Hal Robson-Kanu, Rabbi Matondo dan Tyler Roberts diketepikan dari skuad selepas selepas tidur lewat dan tidak mematuhi larangan perintah berkurung di hotel pasukan.

"Kami berjaya mencari jalan untuk mencatat kemenangan. Kami sedar sedang berada dalam pertempuran dan mereka sentiasa memberi ancaman.

"Ada masanya mereka mempunyai enam pemain di bahagian depan dan sangat bahaya di dalam petak penalti. Bagaimanapun, saya rasa kami berjaya menggunakan peluang yang ada dan salah satunya pada hujung saingan," kata Page.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 9:08 AM