BMW E323i tampak bergaya.
BMW E323i tampak bergaya.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Semenjak kebelaka­ngan ini, kereta kategori ‘continental’ ter­utamanya jenama BMW sememangnya menjadi kegilaan peminat modifikasi tempatan.

Biarpun menyedari kos pembelian serta penyelenggaraan jentera import itu adalah tinggi berbanding kereta Jepun, ia seolah-olah tidak pernah menjadi halangan bagi memenuhi minat masing-masing.

Kegilaan itu boleh dilihat menerusi ruangan Modifikasi ini apabila menampilkan BMW 323i atau lebih dikenali E30 milik C Y Lim, 36, yang juga pemilik bengkel dan pusat mencuci kereta di Kuala Lumpur.

Pada asalnya, jentera itu adalah sebaris dengan model lain yang menggunakan enjin enam silinder bersesaran 2,300 dari M20B23.

Namun, faktor umur yang mencecah 32 tahun, sistem rangkaian kuasa jentera keluaran 1984 itu tidak lagi relevan dan digantikan dengan enjin lebih berkuasa.

Apa yang menarik, ia menggunakan rangkaian kuasa 1JZ-GTE daripada keluarga kenderaan jenama Toyota. Sememangnya enjin itu sangat popular kerana memiliki kuasa yang sangat mantap.

Kebiasaannya enjin itu digunakan dengan meluas oleh model Toyota Cheaser, Cresta, Supra, Soarer dan banyak lagi. Bagaimanapun, jentera berkenaan dilengkapi turbin seramik berkembar CT12A yang berdaya menjana 280 kuasa kuda pada bukaan 6,200rpm.

Proses menaik taraf kuasa enjin tidak terhenti di situ, malah banyak lagi komponen tambahan digunakan seperti set aci sesondol 264 dan ‘cam pulley’ boleh laras HKS dipasang bagi memastikan kelancaran proses sedutan serta buangan angin ketika enjin beroperasi.

Bagi mempertingkatkan tork, sistem turbo berkembar digantikan kepada tung­gal Hybrid AR50 di mana ‘manifold’ atau lebih dikenali ‘banana’ perlu direka khas, manakala kestabilan tekanan perumah turbin dikawal oleh ‘wastegate’ 48 milimeter (mm).

Udara panas yang dilepaskan enjin berkuasa 2,500cc itu disejukkan dengan menggunakan intercooler gergasi jenama Apexi GT.

Sudut luaran tampak berbeza apabila menggunakan kit badan dengan bentuk lebar yang direka khas. Namun bahagian bampar masih menerima sentuhan asal BMW, selain memiliki lampu belakang jenis gelap serta dipadankan but rekaan khas.

Sudut dalaman menggunakan konsep asal tetapi ruang pencahayaan disinari dengan bumbung matahari daripada model M3.

Pemiliknya juga meningkatkan ciri keselamatan dengan membina kerangka tambahan pada setiap sudut dalaman jentera.

Jentera yang menarik dan kerap mencuri tumpuan itu sebenarnya melalui proses restorasi yang lama dengan menelan belanja lebih RM50,000.

SPESIFIKASI:

BMW E323i keluaran 1984

UBAH SUAI ENJIN:

- 1JZ-GTE bersesaran 2,500cc

- Turbin seramik berkembar CT12A

- Cam pulley boleh laras HKS

- Sistem turbo Hybrid AR 50

- Wastegate 48 mm

- Intercooler Apexi GT

UBAH SUAI LUARAN:

- Kit badan lebar

- Lampu belakang gelap

- Bampar hadapan M II E30 dan Belakang E 36

- Bumbung matahari M3

- But belakang tempah khas

KOS:

- RM50,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:01 AM