TIDAK lagi dihantui persoalan apabila sahkan kahwini Genervie selepas Aidilfitri.
TIDAK lagi dihantui persoalan apabila sahkan kahwini Genervie selepas Aidilfitri.
Sudirman Mohd Tahir


Apabila penyanyi Hazama mengesahkan bakal berkahwin dengan kekasihnya yang juga pemuzik, Genervie Kam, 36, selepas Aidilfitri ini, ramai menyatakan sokongan dan gembira dengan keputusan itu.

Hazama, 32, berkata, keputusan itu sekali gus membuatkan dia lega dan tidak lagi dihantui persoalan bila mahu menamatkan zaman bujang.

“Diakui sepanjang kami bercinta saya tertekan kerana sering ditanya mengenai kahwin. Bukan apa, sebagai manusia biasa saya tidak dapat menjangka soal jodoh. Cuma keinginan dalam diri sama seperti orang lain yang mahu berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

“Selepas Akim dan Hafiz berkahwin, sasaran orang sekeliling adalah saya. Ramai tidak sabar mahu melihat saya bergelar suami. Apa-apa pun, macam saya katakan tadi, sampai masa saya pasti mengikut jejak mereka,” katanya.

Bagaimanapun, perkara itu tidak menjadikan pelakon filem Apa Celop Toq ini hilang fokus ketika bekerja kerana menganggap ia lumrah bagi insan yang bercinta.

Bercerita lanjut mengenai Genervie, Hazama berkata dia tidak perlu bekerja keras mendidik kekasihnya itu berpuasa.

“Walaupun bukan Islam, dia dikelilingi rakan Melayu. Malah, sebelum mengenali saya kebanyakan rakannya beragama Islam. Jadi, setiap kali Ramadan, dia belajar berpuasa.

“Disebabkan itu, selepas kami bercinta saya tidak perlu mengajar atau mengingatkannya. Dia sendiri tahu apa yang perlu dibuat. Malah, saya tidak pernah memaksanya berpuasa.

“Saya tidak mahu dia rasa terpaksa semata-mata mahu menjaga hati saya. Sepanjang bercinta, dia sentiasa menghormati agama dan cara saya,” katanya yang ditemui pada majlis agihan bubur lambuk anjuran Intekma Resort Shah Alam di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam.

Fikir soal kahwin

Sementara itu, sepanjang Ramadan penyanyi yang popular dengan lagu Malaikat ini mahu menenangkan diri bagi memikirkan soal perkahwinan.

“Insya-Allah majlis nikah nanti akan dibuat secara tertutup membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak. Saya tidak mahu ia berlangsung meriah sebaliknya melakukan apa yang wajib saja.

“Bukan apa, saya tak mahu membazir semata-mata nak kelihatan gah.

“Alasan saya mudah iaitu yang nak berkahwin adalah saya. Jadi saya mahu acara berkenaan berlangsung secara sederhana dan ringkas. Kalau untuk majlis nikah pun nak ikut cakap orang, memang susah dibuatnya,” katanya.

Bagaimanapun, Hazama tidak menolak sebarang penajaan membabitkan majlis resepsi.

“Ikutkan saya nak buat majlis nikah saja. Kalau ada bajet lebih baru buat resepsi. Sekiranya ada pihak yang sudi menaja, saya terbuka. Namun, majlis ini bukanlah keutamaan saya,” katanya.

Menurut Hazama lagi, meskipun tarikh ijab kabul belum ditetapkan dia menjangka ia akan berlangsung pada November atau Disember depan.

Memandangkan dia belum menghadiri kursus kahwin, perkara itu akan difikirkan selepas Aidilfitri nanti.

“Keluarga dan rakan sudah tahu perkara ini. cuma, macam saya katakan tadi tunggu selepas raya baru saya selesaikan satu persatu. Lagipun saya tidak merancang mengadakan majlis besar-besaran, jadi tidak perlu peningkan kepala.

“Insya-Allah, jika sudah ada tarikh dan semuanya ada kepastian saya pasti kongsi,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan karier, Hazama kini sibuk menghasilkan album kedua yang dijangka siap sebelum hujung tahun ini.

Sementara itu, single terbarunya berjudul Di Amaran Mama sedang mendaki carta beberapa stesen radio tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 5:01 AM