Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Isu berhubung keputusan atlet olahraga negara Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan (gambar) yang memilih untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) berbanding ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland masih belum ada kesudahan.

Malah beberapa pihak cuba mengambil kesempatan membincangkan isu ini secara terbuka di media sosial dan memberi komen serta pendapat tanpa memikirkan kesannya.

Jurulatih dua atlet berkenaan, Mohd Poad Md Kassim berkata secara tidak langsung apa yang berlaku ini mengganggu persiapan kedua-dua atletnya biarpun beliau yakin mereka mampu mengetepikan isu itu apabila sesi latihan bermula esok.

“Keputusan tetap sama. Kami akan ke SUKMA dan bukan ke Kejohanan Dunia Remaja. Keputusan sudah dibuat dan saya berharap ia tidak lagi diperdebatkan.

“Daripada anda semua terus berdebat mengenai isu ini, lebih baik memikirkan mengenai cara terbaik untuk membangunkan sukan olahraga.

“Beri peluang kepada Badrul dan Khairul. Fikir cara terbaik untuk membantu kedua-dua atlet ini memajukan diri mereka.

“Hormati keputusan mereka kerana anda semua tidak berada di tempat mereka dan tidak tahu jerit perih yang dilalui sebelum berjaya sampai ke tahap ini,” kata Poad.

Kejayaan Badrul yang melakarkan catatan 10.29 saat di Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN dan pencapaian Khairul muncul juara remaja Asia dalam acara 100m membuka mata ramai pihak.

Bagaimanapun, kedua-dua atlet itu memilih untuk ke SUKMA dan menganggap keputusan itu bukan mudah dengan jika tarikh dua kejohanan itu tidak bertindih, mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk ke Kejohanan Dunia Remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 10:03 AM