KHAIRUL (dua dari kiri) akan beraksi dalam acara 4x100m hari ini.
KHAIRUL (dua dari kiri) akan beraksi dalam acara 4x100m hari ini.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Tepat seperti yang diduga jurulatih olahraga negara Mohd Poad Md Kassim apabila beliau menjangka Khairul Hafiz Jantan mampu melakar kejutan di Kejohanan Olahraga Remaja Asia yang berlangsung di Ho Chi Minh semalam.

Ketika tumpuan lebih terarah kepada Badrul Hisyam Abdul Manap, Khairul melakarkan catatan 10.36 saat untuk merangkul emas 100 meter sekali gus menewaskan rakan yang berlatih bersama dengannya itu.

Atlet kelahiran Melaka itu menewaskan pelari Jepun Ippei Takeda di tempat di tempat kedua, 10.41s manakala atlet Arab Saudi Mohammed Abdullah Abkar meraih gangsa dengan catatan 10.45s.

Badrul yang muncul juara di Terbuka Pahang dan Filipina dalam acara 100m itu menamatkan larian di kedudukan kelima selepas mencatat masa 10.54s dalam perlumbaan yang dilangsungkan lewat kerana hujan lebat.

Kemenangan Khairul itu pastinya satu yang istimewa apabila dia berjaya membuktikan penyingkirannya pada saat akhir daripada menyertai Kejohanan Terbuka Taiwan bulan lalu adalah satu keputusan yang salah.

Kejayaan Khairul itu juga menyaksikan kontinjen negara berjaya memperbaiki pencapaian dua tahun lalu apabila negara hanya sekadar membawa pulang dua gangsa kedua-duanya dalam acara 400m lelaki dan wanita.

Malaysia berpeluang menambah pingat hari ini apabila kuartet 4x100m yang dibarisi oleh Khairul, Badrul, Asnawi Hashim dan Muhammad Haiqal Hanafi mara saingan akhir selepas merekodkan 39.94s dan berada di ranking pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:06 AM