POAD (kiri), Badrul, Khairul dan Kamarudin beramah mesra.
POAD (kiri), Badrul, Khairul dan Kamarudin beramah mesra.

Melaka: Pernah merasai gelaran manusia terpantas Malaysia, namun kemudiannya tewas kepada kecemerlangan Khairul Hafiz Jantan, tidak pernah melemahkan api perjuangan Badrul Hisyam Abd Manap dalam arena olahraga negara.

Sebaliknya remaja itu menganggap kekalahan kepada rakan senegeri dalam acara 100 meter di Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) Sarawak sentiasa melonjak semangatnya untuk lebih berjaya.

Menurutnya, dia tumpang gembira dengan pencapaian Khairul Hafiz yang kini menguasai acara pecut di negara ini, walaupun pernah berada di kemuncak buat seketika.

“Apa juga yang berlaku saya akan terus berlatih dan mencari semula resipi kejayaan untuk bersaing di kejohanan kebangsaan tidak lama lagi selain mahu terus mewakili negara termasuk di Sukan SEA dan Olimpik 2020.

“Namun saya perlu memperbaiki beberapa perkara dalam memastikan impian itu mampu menjadi kenyataan, termasuk teknik larian. Jurulatih juga sudah mengesan beberapa kelemahan termasuk kedudukan badan yang agak ke belakang ketika memecut dan perlu segera di perbaiki,” katanya.

Badrul berkata demikian selepas mengunjungi bekas guru cemerlang sukan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Melaka Seri Kota, Kamarudin Othman di Taman Seri Pandan, kelmarin, yang turut dihadiri jurulatihnya Mohd Poad Kasim dan Khairul Hafiz.

Sementara itu Poad, berkata, keazaman Badrul, untuk kembali bersaing amat perlu bagi membolehkan remaja itu kembali menemui sentuhan dan corak larian seperti sebelum ini.

Katanya, Badrul perlu berusaha gigih dalam memastikan prestasinya berada dalam keadaan terbaik untuk memberi saingan kepada Khairul dan tidak mustahil mampu memintas pelari terbabit.

“Secara peribadi saya, sentiasa memberi bimbingan dan pendedahan kepada kedua-dua atlet itu pada sesi latihan, namun mereka perlu lebih fokus kepada semua program disusun dalam memastikan setiap yang diimpikan mampu menjadi realiti.

“Saya juga amat berharap Badrul, Hafiz dan lebih ramai atlet muda negara layak ke Olimpik 2020 kelak,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:42 AM