KAMBING masak kurma.
KAMBING masak kurma.

Keenakan udang tiga rasa dan ayam percik istimewa menjadi tarikan utama buat pelanggan yang menikmati juadah berbuka puasa di Hotel Sunway Georgetown, Pulau Pinang.

Menerusi harga RM52 bersih untuk dewasa serta RM32 bersih untuk kanak-kanak, pastinya berbaloi apabila lebih 100 jenis makanan dihidangkan bermula daripada pembuka selera, menu utama hingga sajian pencuci mulut yang turut membabitkan manisan dan kek.

Pengurus Eksekutifnya P Nageswaran berkata, beberapa kelainan termasuk hidangan istimewa disediakan pada tahun ini dengan menu berubah-ubah setiap hari bagi memastikan pelanggan tidak jemu.

“Masakan ‘bonda’ dan tradisi kampung menjadi pilihan bermula dengan ulam-ulaman, sambal, laksa, sate dan kerabu nenas, jelatah, sup tulang, sup ayam, kambing panggang, burung puyuh masak pedas dan kari kepala ikan.

“Tidak ketinggalan daging hitam manis, ayam percik, udang tiga rasa, ketam masak cabai, kepah goreng berlado, sayur kacang botol dan pelbagai jenis kek dan kuih muih,” katanya.

Nageswaran berkata, sajian berbuka ini ditawarkan bermula dari 20 Jun hingga 14 Julai depan dan pelanggan turut berpeluang memenangi cabutan bertuah.

Untuk keterangan lanjut, sila hantarkan e-mel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 5:02 AM