AHMAD Zahid menunaikan solat Tarawih bersama kariah lain yang diimamkan oleh Sheikh Usama Mohammad Iqbal di Masjid Kampung Sayong Lembah. FOTO Sairien Nafis
AHMAD Zahid menunaikan solat Tarawih bersama kariah lain yang diimamkan oleh Sheikh Usama Mohammad Iqbal di Masjid Kampung Sayong Lembah. FOTO Sairien Nafis
Mohd Hafizee Mohd Arop


Kuala Kangsar: Kerajaan persekutuan lulus peruntukan RM3 juta untuk menaik taraf Masjid Sayong Lembah, di sini.

Peruntukan itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Ramadan di masjid berkenaan selepas solat Tarawih, hari ini.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, walaupun pihak jawatankuasa masjid meminta peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk membaik pulih masjid berkenaan, namun kerajaan persekutuan merasakan jumlah berkenaan tidak mencukupi.

"Kami (kerajaan persekutuan) merasakan jumlah berkenaan tidak cukup dan disebabkan itu kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk kerja-kerja menaik taraf masjid ini," katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan dua anak calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid iaitu Wan Emir Astar dan Wan Iskandar bersembahyang Tarawih bersama penduduk di masjid berkenaan.

Sembahyang Tarawih berkenaan diimamkan oleh dua imam dari Arab Saudi.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan jemaah supaya mengimarahkan masjid dengan pengisian yang memberi faedah kepada masyarakat setempat.

"Bulan yang mulia ini seharusnya digunakan untuk menghidupkan masjid dengan pelbagai program bukan sahaja sembahyang Tarawih dan oleh itu saya menyeru semua termasuk diri saya untuk jadikan Ramadan ini untuk melatih sahsiah supaya nilai-nilai positif dapat dikekalkan walaupun sudah keluar dari bulan ini.

"Begitu juga dengan orang politik perlu menjaga mulut, hati dan pemikiran. Walaupun UMNO dan BN bukan parti politik berwajahkan Islam namun kita perlu latih sahsiah dengan kaedah amalan yang baik, barulah orang menghormati kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 12:04 AM