Oleh Yusmawati Mhd Yusof

Melaka: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang mempergiatkan usaha untuk mempertingkatkan pembabitan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menjalankan perniagaan online tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata langkah itu perlu kerana bilangan usahawan PKS yang memanfaatkan perniagaan cara itu untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka ketika ini masih rendah.

"Berdasarkan kaji selidik oleh SME Corp (SME Corporation Malaysia) ke atas 2,079 responden bagi suku tahun pertama 2014, penggunaan e-dagang dalam kalangan PKS berkenaan adalah masih rendah iaitu hanya 7.6 peratus.

"Bagaimanapun, 58.9 peratus daripada mereka mengakui penggunaan medium berkenaan menunjukkan peningkatan dari segi kecekapan berniaga dan 74.7 peratus pula berjaya mengurangkan kos perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:46 PM