AHMAD Maslan (dua dari kiri)  ketika lawatan ke pameran sambil ditemani  Mohamed Al Amin (dua dari kanan) dan Hafsah (kiri) pada majlis pelancaran TUBE 3.0 sempena minggu PKS Peringkat Wilayah Persekutuan dan Selangor di Menara MARA, Jalan Raja Laut.
AHMAD Maslan (dua dari kiri) ketika lawatan ke pameran sambil ditemani Mohamed Al Amin (dua dari kanan) dan Hafsah (kiri) pada majlis pelancaran TUBE 3.0 sempena minggu PKS Peringkat Wilayah Persekutuan dan Selangor di Menara MARA, Jalan Raja Laut.
myMetro

Kuala Lumpur: Kerajaan terus rancak menggiatkan pelbagai usaha untuk mempertingkatkan status usahawan Bumiputera berstatus usahawan mikro ke peringkat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mencapai perolehan yang lebih tinggi.

Ketika ini, 37 peratus daripada kira-kira 647,000 usahawan dalam negara adalah dalam kalangan usahawan Bumiputera di mana 88 peratus atau 210,663 usahawan Bumiputera adalah berstatus mikro yang dilihat begitu membimbangkan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan dari tahun ke tahun terus menyediakan program khusus untuk usahawan meningkatkan kualiti dan kecekapan perniagaan masing-masing.

Menurutnya, kerajaan juga menerusi beberapa kementerian bersama-sama agensinya turut menjalin kerjasama strategik untuk mengenalpasti potensi serta kumpulan usahawan untuk diberikan bantuan termasuk khidmat nasihat.

“Tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk usahawan Bumiputera mengembangkan perniagaan mereka kepada status PKS dan peringkat seterusnya, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara untuk kekal berdaya tahan.

“Kerajaan berharap kumpulan usahawan Bumiputera akan terus merebut peluang yang ada ketika ini kerana sudah tiba masa untuk beralih kepada segmen perniagaan yang dapat memberikan pulangan berganda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 3.0 sempena Minggu PKS 2016 Peringkat Wilayah Persekutuan dan Selangor di sini, semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp),Datuk Dr Mohamed Al-Amin Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 7:15 AM