Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Sri Syed Hussien Al Habshee menyampaikan ucapan perasmian di Program Sentuhan Kecantikan Menjana Pendapatan di Dewan Prima Wisma Lembaga Juru Ukur Tanah, Taman Melawati. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Sri Syed Hussien Al Habshee menyampaikan ucapan perasmian di Program Sentuhan Kecantikan Menjana Pendapatan di Dewan Prima Wisma Lembaga Juru Ukur Tanah, Taman Melawati. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: SME Corp Malaysia (SME Corp) mensasarkan peningkatan dua hingga tiga peratus perniagaan milikan wanita pada setiap tahun menerusi program pembangunan ditawarkan kementerian serta agensi berkaitan.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee berkata, adalah tidak mustahil untuk mencapai angka berkenaan sekiranya SME Corp komited dalam melaksanakan program pembangunan usahawan.

Menurutnya, bilangan perusahaan wanita mengalami peningkatan sebanyak 44 peratus sejak 2011 berdasarkan Banci Ekonomi 2016.

"Perniagaan milikan wanita merangkumi 20.6 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dan menyumbang sebanyak RM69.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara serta mewujudkan 786,132 peluang pekerjaan.

"Peranan penting PKS sebagai enjin pertumbuhan negara jelas digambarkan berdasarkan Banci Ekonomi 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di mana PKS merangkumi 98.5 peratus pertubuhan perniagaan di Malaysia," katanya ketika merasmikan Bengkel Sentuhan Kecantikan Menjana Pendapatan, di Wisma Lembaga Jurukur Tanah (LJT), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy dan Pengarah Urusan Tri-D Event Management Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, katanya, bengkel anjuran Tri-D Event Management Sdn Bhd merupakan salah satu program Micro Connector, iaitu inisiatif yang dijalankan oleh SME Corp Malaysia bagi membangunkan Perusahaan Mikro dan golongan B40.

"SME Corp menyokong penuh program ini kerana ia direka khas untuk meningkatkan kemahiran peserta daripada golongan inklusif, termasuklah komuniti B40, ibu-ibu tunggal dan suri rumah.

"Ini merupakan satu usaha murni bagi membantu usahawan meningkatkan keupayaan diri dan mengasah kemahiran sedia ada serta menjadikan kemahiran sebagai satu sumber pendapatan.

"Ssaya berharap kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta seperti ini dapat diteruskan kerana ia memberi manfaat, bukan sekadar kepada PKS, tetapi juga ekonomi Malaysia secara keseluruhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 1:50 PM