KERAJAAN yakin 2022 akan menjadi tahun untuk sektor PKS terus bangkit.
KERAJAAN yakin 2022 akan menjadi tahun untuk sektor PKS terus bangkit.
Digital HM


Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 berpeluang mendapatkan pembiayaan modal kerja di bawah kemudahan Modal Kerja@BAP berjumlah RM50 juta.

Ia ditawarkan SME Bank dengan kerjasama SME Corp Malaysia (SME Corp).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Tan Sri Noh Omar berkata, Modal Kerja@BAP adalah usaha sama dua agensi di bawah seliaan Medac yang berjaya menyepadukan bantuan menyeluruh khusus untuk membawa perniagaan PKS ke aras lebih tinggi.

"Sejak diperkenalkan pada 2011, kerajaan melalui SME Corp, telah menyediakan dana pusingan revolving fund sebanyak RM151.5 juta bagi Program BAP dan SME Bank bertindak sebagai agensi yang mengurus dan mengagihkan dana ini.

"Kerajaan yakin tahun 2022 akan menjadi tahun untuk sektor PKS terus bangkit dan meningkatkan trajektori pertumbuhan.

"Ini disokong dengan Bajet 2022 yang memperuntukkan sebanyak RM14.2 bilion untuk sektor PKS serta Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang memberi fokus terhadap pemacuan pemulihan ekonomi, memastikan kelestarian dan kemapanan serta pada masa yang sama mendorong peningkatan teknologi dan inovasi," katanya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, SME Bank dan SME Corp telah bersetuju untuk memberi fleksibiliti kepada PKS bagi menggunakan dana RM50 juta ini bagi pembiayaan modal kerja tetap yang merangkumi perbelanjaan operasi, gaji dan lain-lain.

"Sebelum ini, pembiayaan modal kerja bagi BAP adalah terhad untuk projek ubahsuai, pembelian bahan mentah dan inventori. Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM500,000 bagi setiap syarikat dengan kadar keuntungan sebanyak 4.0 peratus setahun," katanya.

Program BAP dibuka kepada semua usahawan PKS yang memenuhi syarat-syarat iaitu mempunyai sijil status pendaftaran PKS, memenuhi definisi PKS, telah melalui atau bersedia untuk melalui penilaian SCORE / MCORE oleh SME Corp.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, masih terdapat banyak PKS yang memerlukan suntikan dana bagi memastikan mereka dapat terus beroperasi ketika dan selepas pandemik Covid-19.

"Usahawan PKS dapat memanfaatkan dana ini kerana tidak perlu mengeluarkan dana tambahan kerana syarat cagaran 5.0 peratus daripada jumlah pembiayaan diambil terus daripada pembiayaan yang diluluskan.

"Pembiayaan modal kerja tetap ini bertujuan membantu PKS yang terjejas akibat pandemik Covid-19 meneruskan operasi syarikat dengan cara memudahkan proses mendapatkan pembiayaan melalui penggunaan format penilaian lebih ringkas dan fokus kepada jenis pembiayaan diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 7:00 AM