CHEW
CHEW
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) menekankan kadar kelulusan pembiayaan institusi perbankan dan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan adalah tinggi lebih daripada 75 peratus.

Penolong Gabenor BNM Jessica Chew berkata, perkara itu membuktikan Malaysia mempunyai ekosistem kewangan yang komprehensif dalam memberikan pembiayaan serta sokongan kukuh bagi setiap peringkat kitaran hayat perniagaan.

Beliau berkata, PKS adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak 36 peratus tahun lalu yang dirangsang kira-kira 907,000 usahawan tempatan.

“PKS adalah segmen penting kepada negara dan ia terbukti apabila institusi kewangan menjadikan PKS sebagai fokus utama mereka.

“Ketika ini kita dapat menyaksikan pembiayaan kepada PKS merangkumi 50 peratus daripada pembiayaan kepada perniagaan. Institusi kewangan adalah sumber pembiayaan terbesar bagi PKS iaitu 97 peratus dan ini menyemarakkan ekonomi negara serta memanfaatkan semua pihak.

“Malah, agensi kerajaan turut menyediakan pelbagai skim dan dana pembiayaan khusus kepada PKS antaranya seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp), sekali gus menyangkal persepsi usahawan mengenai kesulitan mendapatkan pembiayaan,” katanya di Ibu Pejabat BNM, di sini.

Berdasarkan Tinjauan SME Corp Suku Pertama 2017, 97 peratus daripada PKS memohon pinjaman mendapat kelulusan di mana 27 peratus adalah peminjam kali pertama dan 23 peratus mendapat pinjaman tanpa cagaran.

Chew berkata, usahawan tidak perlu bimbang kerana ada banyak jenis skim dan pembiayaan ditawarkan.

Sebagai contoh, BNM turut mempunyai peruntukan dana RM10.4 bilion untuk PKS yang layak dari semua sektor ekonomi.

Menurutnya, setakat Ogos lalu, RM7.4 bilion atau 71 peratus disalurkan menerusi pinjaman disediakan institusi kewangan dan masih ada baki RM3 bilion atau 29 peratus untuk diberikan.

Menurut Chew, bank pusat menerusi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil turut menyediakan bantuan kepada PKS berdaya maju.

Beliau berkata, sebagai usahawan mereka perlu mempunyai pelan perniagaan lengkap serta rekod kewangan tersusun supaya urusan permohonan jadi lebih mudah.

“Dokumentasi lengkap penting bagi bank untuk meneliti kemampanan perniagaan sebelum memberikan pinjaman. Pengurusan kewangan adalah faktor instutusi kewangan menilai kelayakan permohonan, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 8:43 AM