Nabil Basaruddin


SEKTOR keusahawanan negara mempunyai asas kukuh untuk maju ke hadapan dengan menjadikan tahun ini sebagai masa yang terbaik untuk menjangkaui prestasi lebih cemerlang berbanding sebelum ini.

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) berkata, pihaknya bersama semua agensi di bawah kementerian itu termasuk SME Corporation (SME Corp) komited memudah dan membantu kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memacu perkembangan PKS negara.

Katanya, dari perspektif lebih besar, PKS perlu meraih sepenuhnya manfaat digitalisasi dan teknologi terkini yang membolehkan transformasi proses perniagaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Berdasarkan unjuran pada Belanjawan 2020, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang pada 4.7 peratus pada 2019 dan meningkat kepada 4.8 peratus pada tahun ini.

“PKS juga dijangka mendapat manfaat daripada Belanjawan 2020 yang memperuntukkan sejumlah RM13.1 bilion sebagai langkah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat kepada perniagaan dan usahawan.

“Semoga hubungan erat antara PKS dan MED terus terjalin bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030),” katanya.

MED berkata, perolehan kerajaan juga memberikan keutamaan kepada sumber produk dihasilkan PKS tempatan sempena penganjuran mesyuarat dan program Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 sepanjang tahun ini.

Menurutnya, penganjuran APEC 2020 dijangka membuka peluang kepada Malaysia meningkatkan aktiviti pelancongan, sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 di mana PKS mendapat manfaat secara langsung dan tidak langsung.

“Selain itu, sejajar dengan aspirasi DKN2030, SME Corp sebagai agensi koordinasi agenda PKS bagi MED akan menganjurkan satu sesi Menteri Pembangunan Usahawan Bersama PKS pada 21 Januari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 6:01 AM