ARIA Putera Ismail. FOTO arkib NSTP
ARIA Putera Ismail. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: SME Bank menandatangani persetujuan dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp) bagi menawarkan pembiayaan modal kerja tetap di bawah kemudahan Modal Kerja @ BAP untuk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 melalui peruntukan dana berjumlah RM50 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, Modal Kerja@BAP merupakan usaha sama dua agensi di bawah seliaan MEDAC yang berjaya menyepadukan bantuan menyeluruh khusus untuk membawa perniagaan PKS ke aras lebih tinggi.

Dalam kenyataannya hari ini beliau berkata, sejak diperkenalkan pada 2011, kerajaan melalui SME Corp menyediakan dana pusingan sebanyak RM151.5 juta bagi Program BAP, yang mana, SME Bank telah bertindak sebagai agensi yang mengurus dan mengagihkan dana ini.

"Kerajaan yakin 2022 akan menjadi tahun untuk sektor PKS terus bangkit dan meningkatkan trajektori pertumbuhan.

"Ini disokong dengan Bajet 2022 yang memperuntukkan sebanyak RM14.2 bilion kepada sektor PKS serta Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang memberi fokus terhadap pemacuan pemulihan ekonomi, memastikan kelestarian dan kemapanan serta pada masa yang sama mendorong peningkatan teknologi dan inovasi," jelas Noh.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy, masih terdapat banyak PKS yang memerlukan suntikan dana bagi memastikan mereka dapat terus beroperasi semasa dan pasca-pandemik Covid-19.

"Pembiayaan modal kerja tetap ini bertujuan untuk membantu PKS yang terjejas akibat pandemik meneruskan operasi syarikat dengan cara memudahkan proses mendapatkan pembiayaan melalui penggunaan format penilaian yang lebih ringkas dan fokus kepada jenis pembiayaan yang diperlukan.

"Usahawan PKS dapat memanfaatkan dana ini kerana tidak perlu mengeluarkan dana tambahan kerana syarat cagaran lima peratus daripada jumlah pembiayaan diambil terus daripada pembiayaan yang diluluskan," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk menguruskan dana tersebut, SME Bank telah meluluskan pembiayaan kepada 542 buah syarikat dengan nilai pembiayaan RM247.35 juta sejak 2011.

"SME Bank dan SME Corp telah bersetuju memberi fleksibiliti ini kepada PKS bagi menggunakan dana RM50 juta tersebut untuk pembiayaan modal kerja tetap yang merangkumi perbelanjaan operasi, gaji dan lain-lain.

"Sebelum ini, pembiayaan modal kerja bagi BAP adalah terhad untuk projek ubahsuai, pembelian bahan mentah serta inventori. Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM500,000 bagi setiap syarikat dengan kadar keuntungan sebanyak empat peratus setahun," tambahnya.

Program BAP dibuka kepada semua usahawan PKS yang memenuhi syarat-syarat iaitu mempunyai sijil status pendaftaran PKS, memenuhi definisi PKS, telah melalui atau bersedia untuk melalui penilaian SCORE/ MCORE oleh SME Corp.

Untuk maklumat penuh berkenaan Kemudahan Modal Kerja@BAP, sila layari laman web www.smebank.com.my atau www.smecorp.com.gov.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan SME Bank di 03- 26037700.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 5:04 PM