AZMIR berasa kecewa kerana stadium yang dijanjikan itu tidak dapat dibina sehingga kini. FOTO Bernama
AZMIR berasa kecewa kerana stadium yang dijanjikan itu tidak dapat dibina sehingga kini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas kecewa menantikan pembinaan stadium ragbi pertama negara ketika sebagai pemain kebangsaan, Mohd Azmir Zainul Abidin mahu kembali berjuang merealisasikan pembinaan stadium berkenaan selepas diberi kepercayaan menggalas tugas selaku Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Azmir yang memenangi jawatan nombor dua itu tanpa dicabar pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KRM, Sabtu lalu menegaskan, ia adalah antara perkara yang mahu diperjuangkannya.

"Sebagai bekas pemain ragbi yang mana waktu saya main dulu pun sudah dijanjikan untuk pembinaan stadium (ragbi), sudah tentu kami mahu mempunyai 'home' sendiri. Tetapi perkara ini perlu dibincangkan dengan banyak pemegang taruh terutama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sebab benda ini bukan perkara yang kecil.

"Ia akan menjadi antara objektif utama kami dalam usaha mendapatkan stadium sendiri. Mungkin bukan dalam tempoh terdekat, tetapi ia adalah perancangan jangka panjang," katanya.

Jelas Azmir, sudah tentu sebagai bekas pemain kebangsaan beliau berasa kecewa kerana stadium yang dijanjikan itu tidak dapat dibina sehingga kini.

"Sejujurnya sangat kecewa sebab kami sudah berharap sejak zaman saya bermain, malah ketika zaman KJ (Khairy Jamaluddin) sebagai Menteri Belia dan Sukan sudah ada ura-ura mengatakan kami akan dapat stadium.

"Tetapi sehingga sekarang masih tidak ada lagi. Kami mahu mempunyai tempat latihan sendiri, kemudahan sendiri dan tidak mengharapkan ihsan daripada mana-mana pihak," katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan pasukan ragbi negara bakal mempunyai stadium sendiri yang berharga RM17 juta di Presint 14, Putrajaya seperti mana diumumkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 2019.

Stadium sulung ragbi negara itu mampu menampung kapasiti penonton sehingga 5,000 orang dalam satu masa dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti gimnasium, pusat rawatan, ruang komersial dan padang latihan yang akan dibina secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 1:46 PM