Malaysia juara Kejohanan Ragbi tujuh-sebelah (7s) Asia. FOTO Ihsan MRU
Malaysia juara Kejohanan Ragbi tujuh-sebelah (7s) Asia. FOTO Ihsan MRU
BERNAMA

SKUAD ragbi Bawah-18 tahun kebangsaan akan menerima ganjaran berbentuk program pembangunan selepas berjaya mempertahankan gelaran juara Kejohanan Ragbi tujuh-sebelah (7s) Asia.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa ganjaran berkenaan adalah untuk memastikan bakat dalam pembangunan sukan itu terus berkembang.

"Pertama sekali tahniah kepada semua pemain, jurulatih dan pengurusan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) atas kejayaan ini. Prestasi ini perlu diteruskan supaya pemain-pemain ini menjadi feeder group untuk skuad kebangsaan.

"Satu isyarat yang amat baik bahawa kita ada pelapis yang baik. Ganjaran lebih kepada suntikan dana ke program latihan dan menyertai kejohanan lain, saya akan bincangkan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengenai perancangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut kepulangan pasukan itu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang, malam ini.

Skuad negara beraksi cemerlang untuk mengekalkan rekod 100 peratus menang di Kunming, China pada liga sepusingan, sebelum mengesahkan kejuaraan dengan menewaskan tuan rumah 14-10, semalam.

Malaysia juara bertahan kejohanan itu, selepas muncul juara edisi lalu di Stadium EduCity di Nusajaya tanpa mencatatkan sebarang kekalahan pada Disember lepas.

Sementara itu, Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata banyak perancangan telah dibuat untuk pasukan berkenaan di bawah Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP).

"Apabila kita menang pada tahun lalu, ada pihak berkata kita menang nasib, tetapi apabila menang dua kali, ia membuktikan bahawa kita ada pembangunan dan pathaway yang baik.

"Kita akan meneruskan pembangunan ini di bawah NRDP, di mana pemain-pemain ini akan diserapkan ke dalam skuad B-20 dan kebangsaan secara berperingkat. Kita juga bakal mendapat suntikan penajaan daripada Yayasan Sime Darby dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 12:03 AM