KAMERA kompak masih relevan.
KAMERA kompak masih relevan.
HANYA kamera DSLR mampu beri hasil tahap profesional.
HANYA kamera DSLR mampu beri hasil tahap profesional.
KAMERA DSLR masih pilihan profesional.
KAMERA DSLR masih pilihan profesional.
PERALATAN pejabat tumpuan baru Canon.
PERALATAN pejabat tumpuan baru Canon.
Afiq Hanif (Yang menyertai Canon Expo 2016 di Shanghai dan China)


Perkembangan telefon pintar yang dilengkapi kamera dengan pelbagai fungsi diyakini tidak akan menggugat penggunaan kamera digital seperti DSLR.

Mana tidaknya, syarikat seperti Canon Inc (Canon) masih unggul dengan barisan produk sejak puluhan tahun lalu kerana ia tetap relevan dengan segmen fotografi yang semakin mantap.

Tidak boleh disamakan antara kamera seperti kanta refleks tunggal (DSLR) dengan kamera telefon pintar kerana ia dua benda berbeza.

Hanya masing-masing perlu wujud bersama bagi menambah kemeriahan industri fotografi.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Inc (Canon) Fujio Mitarai, berkata meskipun ramai pengguna yang lebih menumpukan kepada kamera telefon untuk merakam gambar, namun ia masih mempunyai kekurangan yang akhirnya hanya mampu ditampung oleh kamera DSLR.

“Telefon pintar tidak mempunyai resolusi tinggi, kelajuan, perincian dan banyak lagi yang semuanya hanya ada dalam kamera DSLR,” katanya kepada media termasuk IT@Metro yang menyertai Canon Expo 2016 di Shanghai, China, baru-baru ini.

Namun, menurut Mitarai, kedua-duanya saling memerlukan dalam menjadikan pengalaman fotografi lebih bermakna.

“Telefon pintar adalah medium namun ia perlu digunakan bersama peranti sebenar fotografi iaitu kamera digital,” katanya.

Menurut Ketua Eksekutif Operasi Produk Komunikasi Pengimejan Canon, Go Tokura sependapat dengan Mitarai meskipun ada pengeluar telefon pintar bekerjasama dengan pengeluar produk fotografi untuk memasang lensa pada telefon mereka.

“Takkan sama kualitinya dan keghairahan memegang kamera berbanding menggunakan telefon untuk merakam.

“Kami tahu pengguna mahukan ciri kepantasan dan mudah bawa terutama ketika melancong, sebab itu kami juga fokus pada kamera ‘mirrorless’ yang kompak,” katanya.

Canon mempunyai sejarah fotografi yang hebat seperti model Kwanon menjadi kamera ‘focal-plane-shutter’ 35mm pertama dihasilkan pada 1934.

Selepas itu, ada pula Canonet yang menjadi kamera pengguna pertama dengan lensa shutter 35mm berjaya dijual sehingga satu juta unit dalam tempoh dua setengah tahun.

Bukan itu saja, Canon kini memperluaskan perniagaannya kepada kamera dan perkakasan kesihatan yang menjadi fokus pada masa depan.

Mitarai berkata, kepesatan pembangunan di Malaysia membolehkan peluang memasang kamera CCTV yang menjadi segmen baru bagi Canon.

“Bukan itu saja, Malaysia kekal menjadi negara yang memperlihatkan peningkatan penggunaan peranti,”.

Sementara itu, Presiden Canon Asia Marketing Group Hideki Ozawa menyasarkan pertumbuhan AS$10 bilion menjelang 2020 bagi syarikat terbabit.

“Kami mampu melakukannya dengan empat strategi utama membabitkan mencipta pelanggan baru, memanfaatkan kawasan baru pesat membangun di Asia, memperluaskan skop perniagaan ‘Business to Business’ (B2B) dan memperkasakan imej jenama,” katanya.

Katanya, Canon mengkaji secara mendalam tabiat penggunaan fotografi pengguna dan mencipta produk yang menepati kehendak mereka.

“Kami umumkan program perkhidmatan ‘online’ yang pertama untuk memanfaatkan perkembangan Internet dan memasuki segmen keselamatan serta kesihatan dengan lebih mantap bermula tahun ini,” katanya sambil menambah Canon berhasrat memperluaskan ciri Canon Image Square yang popular di Thailand selain memperkasakan laman e-dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 11:08 AM