SISWA dan bakal graduan memegang tanggungjawab besar sebagai bakal pemimpin selain membantu IPT merealisasikan aspirasi pendidikan negara. - Gambar hiasan
SISWA dan bakal graduan memegang tanggungjawab besar sebagai bakal pemimpin selain membantu IPT merealisasikan aspirasi pendidikan negara. - Gambar hiasan
GRADUAN bakal pemimpin masa depan yang akan meneruskan kesinambungan perjuangan generasi sekarang. - Gambar hiasan
GRADUAN bakal pemimpin masa depan yang akan meneruskan kesinambungan perjuangan generasi sekarang. - Gambar hiasan
IPT menjadi platform terakhir melahirkan graduan yang bukan saja memiliki ilmu, malah pelbagai kemahiran untuk keperluan industri , selain memiliki nilai kemasyarakatan. - Gambar hiasan
IPT menjadi platform terakhir melahirkan graduan yang bukan saja memiliki ilmu, malah pelbagai kemahiran untuk keperluan industri , selain memiliki nilai kemasyarakatan. - Gambar hiasan
KEJAYAAN graduan juga bermakna kejayaan institusi. - Gambar hiasan
KEJAYAAN graduan juga bermakna kejayaan institusi. - Gambar hiasan
PELBAGAI elemen disuntik ketika berada di IPT termasuk pengukuhan dan pemantapan jati diri menerusi aktiviti badan beruniform bertujuan melahirkan graduan cemerlang dan serba boleh. - Gambar hiasan
PELBAGAI elemen disuntik ketika berada di IPT termasuk pengukuhan dan pemantapan jati diri menerusi aktiviti badan beruniform bertujuan melahirkan graduan cemerlang dan serba boleh. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin


Pelbagai langkah dilaksanakan bagi meningkatkan nilai graduan yang dilahirkan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) negara.

Ini berikutan tingginya harapan diletakkan masyarakat dan industri terhadap golongan itu yang dianggap aset penting negara.

Ia juga bertujuan melahirkan graduan yang mampu memenuhi aspirasi negara selain mewujudkan generasi masa depan lebih berkualiti.

Pelbagai usaha yang dilakukan secara tidak langsung menjadi isyarat penting kepada IPT) untuk meningkatkan usaha bagi mencapai sasaran, sekali gus melengkap tanggungjawab sebagai sebuah institusi ilmu.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) Prof Datuk Dr Rosli Mohd Yunus berkata, graduan kelompok yang memainkan pelbagai peranan bagi memenuhi keperluan pembangunan bangsa, agama, masyarakat, ekonomi dan industri.

Menurutnya, segala keperluan itu perlu dikuasai golongan itu kerana ia kehendak berterusan sejajar perkembangan semasa sama ada di peringat negara atau antarabangsa.

“Graduan aset pelaburan penting untuk negara kerana mereka bakal meneruskan kelangsungan dan kesinambungan apa yang sudah kita ada hari ini.

“Mereka perlu disediakan dengan pelbagai suntikan bagi melahirkan generasi yang bukan saja memiliki ilmu tapi mantap serba-serbi terutama pengukuhan jati diri.

“Ini bukan tanggungjawab mudah kerana IPT antara tempat bakal pemimpin ini memperoleh ilmu, kemahiran serta dinilai orang luar,” katanya.

Menurutnya, walaupun isu mengenai graduan ditakrifkan sebagai masalah universal, sukar untuk menghentikan persepsi dilemparkan kepada golongan itu.

“Ini kerana graduan kelompok terbesar dilahirkan pelbagai institusi saban tahun dan mereka mewakili sebahagian besar generasi muda yang bakal membuat peralihan pelbagai perkara.

“Sebab itu, isu mengenai graduan terlampau banyak dan sukar untuk kita menepis pandangan masyarakat walaupun ada kalanya ia berat sebelah.

“Jika penilaian itu positif, ia bermakna kemenangan kepada IPT tapi jika sebaliknya, ia menyebabkan IPT terpaksa mencari punca bagi menangani isu ditimbulkan,” katanya.

Beliau mengakui sukar mengekang penilaian masyarakat kerana masing-masing ada hak memberi pendapat.

“Hak itu tidak boleh disekat cuma yang boleh dilakukan IPT ialah terus berusaha mencari formula terbaik untuk memperbaiki kelemahan.

“Sebab itu, pelbagai penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa termasuk transformasi menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

“Ia bukan saja bertujuan meningkatkan mutu pendidikan tinggi dengan tambahan elemen berkeperluan tinggi, malah pada masa sama melahirkan generasi muda berpengetahuan dan berkemahiran pada tahap global,” katanya.

Beliau berkata, meskipun setiap individu memperoleh sistem pendidikan sistematik bermula dari sekolah, IPT menjadi platform terakhir untuk mereka mempersiapkan diri.

“Pendidikan di sekolah objektifnya lain, begitu juga di IPT tapi secara dasarnya masing-masing ada teras sama iaitu melahirkan generasi masa muda berpendidikan serta ada nilai diri yang baik.

“Cuma di IPT, tanggungjawabnya lebih berat kerana kami menjadi platform terakhir untuk menyediakan produk yang bukan saja bakal menjadi anggota masyarakat tapi merangkumi keperluan seperti pekerja, pemimpin dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata antara cabaran dihadapi IPT melahirkan graduan berkualiti ialah sistem atau program pendidikan yang perlu terkini, persekitaran pembelajaran serta kehidupan di luar institusi seperti sosial, ekonomi dan peradaban.

“Dunia kini sangat pantas bertukar dan jika IPT tidak bersedia dengan transformasi diperlukan, yang menjadi mangsanya tentulah graduan.

“Sebagai IPT, sudah tentu kami mahu graduan yang dilahirkan memenuhi piawaian ditetapkan dan piawaian itu tinggi serta sentiasa berubah.

“Jika IPT tidak bersedia dan graduan dilahirkan juga tidak kompeten, sudah tentu sukar bagi kedua-dua pihak memenuhi permintaan globalisasi,” katanya.

Dr Rosli berkata, antara faktor menyebabkan graduan kurang berkualiti ialah kurikulum tidak berpandukan kehendak industri, kegagalan memanfaatkan pembangunan program akademik dan tidak memahami perubahan serta keperluan semasa dan akan datang .

Faktor lain ialah tidak memberi keutamaan terhadap sistem sokongan pembangunan pelajar serta kegagalan memahami keperluan pelajar generasi abad ke-21.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 1:17 PM