BUDAYA menjana kecemerlangan dipupuk sejak sekolah wajar digandakan dan diteruskan di IPT. - Gambar hiasan
BUDAYA menjana kecemerlangan dipupuk sejak sekolah wajar digandakan dan diteruskan di IPT. - Gambar hiasan
KECEMERLANGAN pelajar boleh dipupuk dan dibentuk, sekali gus menyediakan pemangkin bakal pemimpin negara  yang boleh disandarkan harapan. - Gambar hiasan
KECEMERLANGAN pelajar boleh dipupuk dan dibentuk, sekali gus menyediakan pemangkin bakal pemimpin negara yang boleh disandarkan harapan. - Gambar hiasan
 USAH meletakkan diri di zon selesa, sebaliknya berusaha gigih untuk memacu kejayaan. - Gambar hiasan
USAH meletakkan diri di zon selesa, sebaliknya berusaha gigih untuk memacu kejayaan. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin


Memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) bukan bermakna bebas dalam melakukan segala hal, sedangkan banyak lagi cabaran yang menanti.

Jadual yang ditetapkan perlu dipatuhi bagi menjamin kecemerlangan sepanjang tempoh pengajian, sekali gus mampu keluar dengan gelaran graduan cemerlang.

Namun, di sebalik pematuhan segala syarat mahupun kelayakan ditetapkan IPT, masih ramai yang lebih gemar berada dalam zon selesa.

Tambahan pula budaya cukup makan sangat sinonim dikaitkan dengan golongan ini menyebabkan mereka seolah-olah hanyut dan hanya tersedar pada tahun akhir pengajian.

Penyesalan ketika itu mungkin sudah terlewat dan mereka perlu menerima hakikat terpaksa berusaha lebih keras untuk bersaing dengan ribuan rakan lain yang juga mengalami nasib serupa.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pelajar perlu keluar daripada kepompong berasa cepat berasa putus asa dan menjadikan budaya cukup makan sebagai pegangan hidup.

Menurutnya, usaha kerajaan memperkasakan pelbagai pembaharuan dalam sistem pendidikan tinggi negara adalah demi kebaikan golongan itu sendiri.

"Tapi pembaharuan ini dilihat mereka sebagai usaha menambah bebanan, apatah lagi jika ia membabitkan pembaharuan terhadap modul atau sistem yang sudah lama diguna pakai.

"Perlu ingat, setiap penambahbaikan, pembaharuan atau apa-apa saja pengenalan dilakukan, tujuannya adalah bagi menyelaraskan kehendak masa kini.

"Jadi, jangan terlalu membangkang atau terus berkata (tidak setuju) ataupun memandai-mandai berkata apa-apa yang diperkenalkan itu satu pembaziran," katanya.

Katanya, pelajar perlu mengubah semua budaya bersifat negatif kerana mereka bakal berdepan pula dengan pelbagai cabaran selepas menamatkan pengajian.

Menurutnya, sistem pendidikan tinggi secara dasarnya menekankan konsep kendiri dan berdikari bagi menyediakan pelajar dengan persekitaran dunia luar yang penuh cabaran.

"Namun, kerana sudah berada dalam zon selesa, apa yang mahu diperkenalkan itu ada kalanya dipersoalkan ketidakwajaran pelaksanaannya.

"Tapi mereka tidak mahu ambil tahu atau berfikir sejenak, mengapa ia mesti perlu diperkenalkan.

"Saya tidak melabelkan semuanya mempunyai sikap penolakan begitu, tapi sebahagian besarnya ya (memang begitu)," katanya yang menganggap budaya demikian boleh menghalang proses kejayaan yang ingin dicapai.

"Untuk mencapai kejayaan bukan senang, ditambah pula dengan wujudnya budaya negatif yang boleh membantutkan lagi proses itu.

"Budaya seperti itu wajar dikikis kerana tidak akan membantu mereka berjaya, sebaliknya menggelapkan lagi masa depan," katanya.

Pelajar juga, katanya, perlu bermuhasabah diri dan jangan terlalu meletakkan diri dalam zon selesa dengan menganggap peluang pekerjaan mudah diperoleh sebaik tamat pengajian.

"Kalau begitulah angan-angannya, mereka sebenarnya masih belum matang untuk berfikir di luar kotak minda.

"Malah, golongan ini berada dalam zon bahaya kerana mereka sendiri perlu bangkit mencari dan mencipta pekerjaan, bukan pekerjaan datang pada mereka.

"Keluarlah dari zon ini (selesa) ataupun terbabit dengan budaya cukup makan kerana ia memang merugikan," kata Dr Sahol Hamid.

Pada masa sama, beliau juga kesal apabila ada pihak gemar mencari 'publisiti' dengan membangkang apa jua pengenalan dibuat tanpa memikirkan kesannya kepada pelajar pada masa depan.

"Benar, ada kalanya pengenalan itu nampak seperti tergesa-gesa, sudah terlambat atau sebagainya. Ada pula mengatakan, pelajar hari ini sentiasa menjadi bahan uji kaji pihak tertentu.

"Fikirlah, andai kata kita tidak melakukan perubahan dari sekarang, di manakah letaknya kedudukan pelajar ini pada masa depan?" soalnya.

Menurutnya, masyarakat perlu menukar persepsi supaya jangan keterlaluan meletakkan banyak syarat serta perkataan 'tidak boleh' dalam sistem pendidikan negara.

"Kita sedang bertungkus-lumus untuk memperkasakan sistem pendidikan ke tahap mampu mencapai piawaian syarat menjadi negara maju.

"Jadi, jangan letak terlalu banyak syarat kepada pihak terbabit kerana boleh menjejaskan perancangan dibuat.

"Dalam mana-mana sistem pendidikan di dunia ini, perubahan perlu dibuat mengikut masa, keperluan dan sebagainya," katanya sambil menjelaskan yang beliau tidak menolak pembaharuan dibuat itu pasti ada kelemahannya.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh terus menghentam dan membuat kesimpulan, ia gagal dan membazir. Kesilapan boleh berlaku. Itu lumrah, namun kita juga akan berusaha memperbaikinya untuk menjadi lebih baik.

"Apa dilakukan ini bukan untuk kita, tapi untuk generasi masa depan yang mana cabarannya mungkin berganda lebih hebat pada masa sekarang," katanya.

Mengenai usaha dilakukan bagi penambahbaikan sistem pendidikan terutama di IPT, beliau berkata, banyak kajian sudah dilakukan bagi membantu bakal graduan berkeupayaan dalam bidang industri.

"Contohnya, dulu apa yang ditekankan majikan ialah memperoleh keputusan akademik yang baik, kemudian diperkenalkan pula dengan keperluan menguasai kemahiran.

"Sekarang, penekanan turut diberikan dalam kemahiran menguasai pelbagai bahasa kerana konsep industri tidak hanya terhad pada pasaran tempatan.

"Pada masa depan, keperluannya juga mungkin berbeza. Justeru, apa-apa diberikan IPT adalah untuk memenuhi kehendak itu," katanya.

Mengulas mengenai keperluan bahasa terutama pengukuhan bahasa Inggeris, beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan walaupun ada pihak berpendapat ia tidak adil bagi segelintir pelajar.

Menurutnya, ada pihak hanya melihat impak itu yang ditanggung masa pendek tapi bukan jangka masa panjang.

"Contohnya menaikkan had minimum keputusan Malaysian University English Test ( MUET) bagi kemasukan ke universiti dan sebagai prasyarat untuk bergraduasi mengajak kita berfikir mengenai masa depan pendidikan di negara ini.

"Usaha ini semata-mata bertujuan memastikan graduan IPT awam mampu memenuhi permintaan dan kehendak pasaran kerja di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Setiap masalah ada penyelesaiannya. Jika kita mengambil sikap positif dan fokus dalam mencari penyelesaian, pastinya tidak perlu memprotes dan memboikot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:01 AM