DR Mohd Shukri bersama penerima pelbagai anugerah kecemerlangan sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 MSU, baru-baru ini.
DR Mohd Shukri bersama penerima pelbagai anugerah kecemerlangan sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 MSU, baru-baru ini.
Ruhaiza Rusmin


Majlis Konvokesyen Ke-20 Management and Science University (MSU) yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan 2,105 graduan daripada 76 program pengajian menerima skrol mengikut bidang pengajian masing-masing.

Pada majlis berkenaan, MSU turut menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Dalam Perubatan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang pendidikan serta perubatan negara di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Presiden MSU Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, MSU terus melakar kejayaan dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing, cemerlang dalam akademik serta memenuhi keperluan global.

“MSU sebagai salah sebuah institusi terbaik di negara ini sangat mementingkan kualiti dan pencapaian graduan dalam semua aspek.

“Menjadi matlamat institusi ini melahirkan graduan bukan saja berjaya dalam akademik malah mempunyai pelbagai kemahiran yang mampu memenuhi keperluan global.

“Satu pencapaian yang cukup membanggakan apabila tahap kebolehpasaran graduan MSU juga berada pada tahap 98.6 peratus iaitu tertinggi dalam kalangan institusi pendidikan tinggi di negara ini,” katanya.

Majlis disempurnakan Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun selaku Canselor MSU. Turut hadir Pro Canselor MSU Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Seramai 28 graduan dianugerah Ijazah Doktor Falsafah, ijazah sarjana (13), ijazah sarjana muda (1,229) dan diploma (835) termasuk graduan sulung bagi program Bacelor Perubatan Tradisional Cina (Kepujian), Bacelor Pengurusan Spa (Kepujian) dan Diploma Kewangan Islam.

Graduan Bacelor Perakaunan (Kepujian) Muhammad Muqaffa Muhammad Jizan dinobatkan graduan terbaik keseluruhan menerusi Anugerah Pingat Emas Canselor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 10:57 AM